KUALA BERANG: Selepas lebih seminggu, seekor harimau kumbang sekali lagi dilihat berkeliaran berhampiran stesen minyak dan kawasan Rehat dan Rawat (R&R) Pengkalan Gawi, malam kelmarin.
Kehadiran haiwan liar itu kembali tular di media sosial selepas dirakam orang awam yang melalui laluan berkenaan.
Pekerja penyelenggaraan, Mohd Roslan Rosman, 45, berkata, kehadiran haiwan berkenaan menimbulkan kebimbangan terutama kepada pengguna jalan raya dan pekerja di kawasan itu.
Menurutnya, lokasi berkenaan yang menjadi hentian orang ramai termasuk keluarga, meningkatkan risiko keselamatan khususnya kepada kanak-kanak.
“Harimau adalah haiwan liar yang berbahaya. Keadaan ini membimbangkan terutama bagi mereka yang berhenti rehat atau keluar ke kedai makan di kawasan R&R,” katanya.
Berikutan itu penduduk telah membuat aduan kepada Jabatan Perlindungan Hidupan Liar dan Taman Negara (Perhilitan) dan agensi itu sudah berada di lokasi sejak minggu lalu bagi menjalankan pemantauan.
Sementara itu, Pengarah Perhilitan Terengganu, Dennis Ten Choon Yung berkata, pihaknya menerima makluman mengenai kehadiran harimau kumbang itu pada Sabtu lalu kira-kira jam 11 malam.
Menurutnya, anggota Perhilitan telah ke lokasi keesokan hari bagi menjalankan pemantauan dan memasang perangkap.
“Hutan Simpan Hulu Telemong dan Hutan Simpan Hulu Terengganu Tambahan yang terletak kira-kira 500 meter dari lokasi berkemungkinan menjadi habitat haiwan itu.
“Pemasangan kamera perangkap telah dilakukan pada 7 Julai lalu dan pemantauan berkala akan diteruskan dari semasa ke semasa,” katanya.
Terdahulu, video memaparkan kelibat harimau kumbang berkeliaran di kawasan berkenaan tular di media sosial, sekali gus mencetuskan kebimbangan dalam kalangan pengguna laluan tersebut.
SUMBER : TV3
Baik, baik ada makna tu..

