DBKL kompaun 19 ulat foto, sita 28 peralatan

KUALA LUMPUR: Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) mengeluarkan 19 notis kompaun terhadap ulat foto dalam Op Lens; Ulat Foto di sekitar kawasan tumpuan awam di Pintasan Saloma, Jalan Ampang dan Jalan P Ramlee di sini, kelmarin.

DBKL berkata, pihaknya menjalankan operasi bersepadu itu dengan kerjasama Jabatan Pendaftaran Negara Malaysia (JPN) dan Polis Diraja Malaysia (PDRM) pada 9 malam.

Katanya, operasi itu mengambil tindakan penguatkuasaan ke atas kegiatan perkhidmatan fotografi (ulat foto) tanpa kebenaran yang dijalankan di tempat awam.

“DBKL mengeluarkan 19 notis kompaun terhadap individu warga negara yang didapati menjalankan perkhidmatan tanpa kebenaran. “Selain itu, 28 sitaan ke atas pelbagai peralatan termasuk telefon bimbit dilakukan termasuk tujuh daripadanya membabitkan warga asing,” katanya dalam kenyataan dikongsikan di Facebook.

DBKL berkata, tindakan penguatkuasaan itu dilakukan mengikut Undang-Undang Kecil (UUK) Pelesenan Penjaja (WPKL) 2016.

“Dalam operasi itu, pihak JPN membuat pemeriksaan terhadap 28 individu membabitkan dokumen pengenalan diri dan passport termasuk satu kes penahanan dokumen berkaitan pemastautin tetap (PR) menerusi Akta Pendaftaran Negara 1959.

“Semua peralatan berkaitan aktiviti jurufoto yang disita seperti telefon bimbit, lampu dan ‘gimbal’ dipindahkan ke Stor Sitaan DBKL untuk tindakan lanjut,” katanya.

Kenyataan itu berkata, pihaknya terus komited memantau dan mengambil tindakan penguatkuasaan bersama dari semasa ke semasa bagi memastikan kawasan berkenaan kekal selamat daripada aktiviti perkhidmatan fotografi tanpa kebenaran.

Menurutnya, ia menyalahi undang-undang, menimbulkan risiko keselamatan, kacau ganggu kepada pengunjung termasuk halangan dan kelancaran lalu lintas.