KLANG: Segala persiapan seorang juruteknik pendingin hawa untuk melangsungkan majlis pertunangan pada Sabtu ini kini hanya tinggal kenangan apabila lelaki itu maut akibat kemalangan di Kilometer (KM) 34 Jalan Kuala Selangor-Meru, dekat persimpangan lampu isyarat Persiaran Mokhtar Dahari di Kuala Selangor, semalam.
Dalam kejadian kira-kira jam 11 pagi itu, motosikal ditunggang Allahyarham Mohammad Amirul Mohd Jais, 35, dipercayai hilang kawalan sebelum terbabas lalu terperosok ke bawah sebuah lori.
Ibu mangsa, Juma’ah Hashim, 59, berkata segala persiapan untuk majlis anak sulung daripada lima beradik itu menyimpul ikatan dengan bakal tunang yang menetap di Bandar Puncak Alam, telahpun selesai.
“Arwah memang teruja menantikan hari pertunangannya sehinggakan ketika menelefon saya, dia berkali-kali tanya sama ada semua barang hantaran sudah siap.
“Barang hantaran seperti cincin dan bakul untuk buah-buahan sudah ada. Malah, kek juga sudah ditempah untuk majlis nanti.
“Keluarga sebelah perempuan pula telah membuat bayaran untuk tempahan katering kerana majlis akan diadakan di tempat mereka,” katanya ketika ditemui di kediaman beliau di Kampung Sungai Serdang, Kapar di sini, hari ini.
Juma’ah yang bekerja sebagai pembantu pengurusan murid (prasekolah) di Sekolah Rendah Agama (SRA) Tok Muda, Kapar, memaklumkan bahawa beliau menerima perkhabaran insiden itu ketika sedang bertugas.
“Saya menerima panggilan daripada pemandu lori itu sendiri, dan dia memberitahu anak saya kemalangan ketika menunggang motosikal berwarna merah.
“Saya bertanya sama ada mangsa lelaki atau perempuan dan pemandu itu memaklumkan lelaki. Saya memintanya mengambil gambar… tidak sangka itu adalah arwah yang terbaring tidak bernyawa.
“Tanpa berlengah, saya bersama suami (Mohd Jais Dollah Omar, 60) terus bergegas ke lokasi untuk melihat arwah,” katanya.
Beliau berkata, Mohammad Amirul dikenali sebagai seorang yang peramah, rajin bekerja dan menjadi tulang belakang keluarga.
“Arwah menjadi juruteknik pendingin hawa sejak 10 tahun lalu. Dia rajin dan tidak berkira, selain berkorban membantu keluarga mencari rezeki.
“Selain itu, arwah baru menyambut ulang tahun kelahiran yang ke-35 pada 10 Julai lalu. Arwah ada memberitahu saya yang dia hendak mengadakan kenduri kahwin pada Julai tahun depan.
“Kebetulan, arwah dan bakal tunangnya lahir pada bulan sama (Julai). Memang terasa kehilangannya,” katanya.
Namun, Juma’ah berkata, beliau sekeluarga reda dengan ketentuan Allah SWT dan akan merindui setiap momen bersama arwah.
Terdahulu, jenazah Allahyarham dimandi dan dikafankan di Hospital Tanjong Karang sebelum selamat dikebumikan di Tanah Perkuburan Islam Kampung Sungai Serdang, di sini, kira-kira jam 6 petang semalam.
Sementara itu Timbalan Ketua Polis Daerah Kuala Selangor, Deputi Superintendan Mohd Ambia Nordin, berkata hasil siasatan awal mendapati kemalangan berlaku ketika mangsa sedang menunggang motosikal jenis Modenas Kriss dalam perjalanan dari Meru menghala ke Kuala Selangor.
Setiba di lokasi, beliau berkata, motosikal mangsa dipercayai memotong sebuah lori di sebelah kiri tetapi hilang kawalan lalu terbabas dan memasuki bahagian bawah kenderaan berat itu.
Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.

