WASHINGTON: Konflik Iran semakin meluas sehingga ke Laut Kaspia hujung minggu lalu meskipun Amerika Syarikat (AS) menghentikan sementara serangan udaranya.
Ia susulan kumpulan Houthi yang disokong Iran menyerang kemudahan minyak Arab Saudi di pesisir Laut Merah, manakala Tehran menuduh Ukraine menyerang sebuah kapal komersial miliknya di Laut Kaspia.
Jurucakap tentera Houthi, Yahya Saree, berkata kumpulan itu melancarkan serangan ke atas kemudahan syarikat minyak negara Arab Saudi, Aramco, di bandar Jizan dan Yanbu pada Sabtu.
Video di media sosial yang disahkan Reuters menunjukkan asap tebal naik dari kawasan loji penapisan Aramco di Jizan, berhampiran sempadan Yaman.
Loji itu mampu memproses sehingga 400,000 tong minyak mentah sehari.
Dua sumber industri minyak di Asia berkata, mereka dimaklumkan mengenai kemungkinan kerosakan pada kemudahan simpanan minyak dan bahan api di Jizan.
Aramco bagaimanapun belum mengeluarkan sebarang kenyataan. Di Yanbu, dua peluru berpandu yang mensasarkan kemudahan minyak berjaya dipintas.
Yanbu adalah pelabuhan utama eksport minyak Arab Saudi di Laut Merah dan kini menjadi laluan penting penghantaran minyak bagi mengelakkan Selat Hormuz yang disekat Iran.
Walaupun keadaan di rantau Teluk ketika ini lebih tenang, serangan Houthi ke atas Arab Saudi pada Sabtu menunjukkan konflik itu berisiko meluas ke satu lagi laluan perkapalan penting dunia dan mencetuskan semula perang saudara di Yaman.
Di Yaman, pegawai berkata tentera udara kerajaan yang diiktiraf masyarakat antarabangsa dan disokong Arab Saudi melancarkan serangan ke atas kedudukan Houthi di wilayah Marib dan al-Jawf.
Kerajaan Yaman yang disokong Arab Saudi telah menentang Houthi sejak lebih sedekad lalu.
Menurut pegawai berkenaan, kedua-dua pihak dalam perang saudara Yaman kini sedang menggerakkan lebih banyak anggota tentera di sepanjang barisan hadapan.
Sejak seminggu lalu, Houthi mengumumkan sekatan terhadap laluan perkapalan Arab Saudi, manakala pemimpinnya, Abdul Malik al-Houthi, memberi amaran semua kemudahan minyak Arab Saudi boleh menjadi sasaran serangan.
Dalam perkembangan berasingan, Kementerian Luar Iran menuduh Ukraine menyerang sebuah kapal komersial Iran di Laut Kaspia sehingga mengorbankan seorang kelasi dan mencederakan seorang lagi.
Agensi berita rasmi IRNA melaporkan, kementerian itu turut memanggil Kuasa Usaha Ukraine di Tehran bagi membantah serangan yang disifatkan sebagai ‘tindakan bermusuhan dan jenayah’.
Pada masa sama, Presiden Ukraine, Volodymyr Zelenskiy, mendakwa Russia berkongsi imej satelit berkaitan Asia Barat dengan Iran bagi membantu negara itu melancarkan serangan di rantau berkenaan. — REUTERS

