KUALA LUMPUR: Menamatkan badi hampir 12 tahun tidak menang ke atas Vietnam menjadi antara misi Harimau Malaya selain memburu tiket ke final Piala ASEAN 2026 apabila kedua-dua pasukan akan berentap di separuh akhir kejohanan itu.
Harimau Malaya terlebih dahulu akan melayan kunjungan skuad Golden Star Warriors di Stadium Bolasepak Kuala Lumpur pada aksi separuh akhir pertama, 16 Ogos ini sebelum bertandang ke gelanggang lawan untuk aksi timbal balik, tiga hari kemudian.
Berdasarkan rekod pertemuan kedua-dua pasukan, kali terakhir Harimau Malaya menewaskan Vietnam ialah pada Disember 2014 apabila menang 4-2 di gelanggang lawan dalam aksi separuh akhir kedua Piala ASEAN yang ketika itu dikenali sebagai Piala AFF.
Skuad negara berjaya menamatkan badi 11 tahun tidak menewaskan Vietnam selepas merekodkan kemenangan 4-0 ke atas Golden Star Warriors pada aksi kelayakan Piala Asia 2027 di Stadium Nasional, Bukit Jalil, Jun tahun lalu.
Malangnya, keputusan itu kemudian dibatalkan, sebaliknya Vietnam diberikan kemenangan 3-0 susulan hukuman yang dikenakan terhadap Harimau Malaya membabitkan kes pemalsuan dokumen tujuh pemain.Pause
Keputusan yang dibuat Konfederasi Bolasepak Asia (AFC) itu sekali gus memadam kembali rekod kemenangan pertama Harimau Malaya ke atas Vietnam selepas 11 tahun.
Ia turut menyaksikan Harimau Malaya kekal dengan rekod tidak menang dalam 10 perlawanan terakhir berdepan Vietnam dengan hanya merekodkan satu keputusan seri dan sembilan kekalahan.
Rekod itu sudah cukup untuk memberi bayangan betapa skuad negara yang ketika ini dibimbing ketua jurulatih interim, Tan Cheng Hoe bakal berdepan misi getir di separuh akhir Piala ASEAN, apatah lagi Harimau Malaya tidak dibarisi ramai tonggak penting dalam kejohanan itu.
Justeru, tidak hairan apabila Cheng Hoe melabel Vietnam yang juga juara bertahan sebagai pasukan pilihan, manakala Harimau Malaya pula akan tampil selaku pasukan ‘underdog’ atau bukan pilihan.
“Kita tahu Vietnam pasukan pilihan dalam kejohanan Piala ASEAN ini. Kami juga ada pasang impian, ada sesuatu yang kami mahukan juga untuk berjaya ke peringkat yang seterusnya.
“Tetapi kami perlu lihat dan membuat analisis beberapa perlawanan Vietnam dan pada masa yang sama kami harus meningkatkan dari segi intensiti dan bagaimana menangani situasi di bawah tekanan.
“Sudah pasti Vietnam pasukan pilihan, kami underdog. Terima kasih kepada penyokong yang datang memberi sokongan kepada pasukan negara dan kami harap (aksi di tempat sendiri berdepan Vietnam) penyokong akan memenuhi stadium lagi,” katanya.
Harimau Malaya mara ke separuh akhir selaku naib juara Kumpulan B selepas merekodkan tiga kemenangan ke atas Myanmar (2-1), Laos (4-0) dan Filipina (2-0) selain tewas kepada Thailand (0-2).
Vietnam pula melangkah ke pusingan empat terbaik dengan lebih bergaya selaku juara Kumpulan A selepas melakar tiga kemenangan ke atas Kemboja (3-1), Indonesia (3-0) dan Timor Leste (7-0) serta seri tanpa jaringan berdepan Singapura.

