KUALA LUMPUR: Universiti Sultan Zainal Abidin (UniSZA) dinobatkan sebagai juara Program National Maker-Preneur (NMP) 2025/2026 selepas mengenepikan cabaran 19 institusi pengajian tinggi (IPT) lain menerusi inovasi Smart Eco Bench di Universiti Malaya (UM), di sini, hari ini.
Kejayaan itu membolehkan ia membawa pulang hadiah utama RM10,000 manakala naib juara milik Universiti Pendidikan Sultan Idris (UPSI) yang membawa pulang RM7,000, manakala Universiti Malaysia Sabah (UMS) ketiga dengan hadiah RM5,000.
Selain hadiah utama, UniSZA juga memenangi dua anugerah khas iaitu `Best Solution Design and Systems Thinking’ dan `Best Demonstrable Prototype/Solution’ yang menyediakan hadiah RM1,000 setiap satu sekali gus menghimpunkan hadiah terkumpul sebanyak RM12,000.

Pertandingan peringkat nasional atas inisiatif strategik KPT melalui Bahagian Perancangan Strategik dengan kerjasama UM itu menghimpunkan 180 pelajar daripada 20 IPT, membabitkan 17 universiti awam, sebuah politeknik dan dua kolej komuniti yang menyaksikan
36 produk dan prototaip berjaya dibangunkan.
Hadiah kepada semua pemenang disampaikan oleh Timbalan Ketua Setiausaha (Dasar) Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Ahmad Rizal Adnan, di Dewan Tunku Canselor UM.
UniSZA menerusi kumpulan Terranode berjaya dinobat juara menerusi inovasi mereka yang menggabungkan tenaga solar, meja adaptif boleh ubah, kemudahan pengecasan, lampu LED pintar termasuk ciri inklusif sebagai asas Smart Eco Bench.
Wakil kumpulan, Mohamad Afsyam Mohamad Fouzi, 22, ketika ditemui berkata inovasi berkenaan dibangunkan bagi menangani kekurangan kemudahan bersepadu di ruang awam, terutama di kawasan universiti.
Mentor kumpulan Terranode yang juga Pensyarah Reka Bentuk dan Penyelaras Hubungan Industri Masyarakat UniSZA, Dr Amirul Fahmi Razali, berkata pembangunan produk itu bermula dengan usaha mengenal pasti masalah dihadapi pelajar dalam kehidupan seharian.
Katanya, proses reka bentuk yang dilalui pelajar membolehkan mereka menggabungkan pelbagai masalah kecil dikenal pasti kepada satu penyelesaian menerusi produk bersepadu.
“Kita cuba letakkan semuanya dalam satu penyelesaian. Sebenarnya ini juga satu ujian untuk melihat pasaran produk ini sama ada ada orang akan menggunakannya dan mendapat manfaat. Melalui program ini, produk ini sudah diuji dan terbukti mempunyai potensi untuk dikembangkan pada masa hadapan,” katanya.
Sementara itu, Ahmad Rizal Adnan dalam ucapannya berkata IPT perlu membangunkan pelajar bukan sekadar sebagai pencari pekerjaan, sebaliknya pencipta peluang pekerjaan menerusi produk dan perkhidmatan inovatif.
“Kita mahu mereka menjadi pencipta peluang pekerjaan yang mampu membangunkan syarikat pemula serta menghasilkan produk dan perkhidmatan inovatif mempunyai potensi untuk memenuhi keperluan pasaran,” katanya.

