SEPANG: Malaysia mula melaksanakan pengeluaran jagung bijian berskala besar bagi mengurangkan kebergantungan terhadap import komoditi itu yang masih 100 peratus bagi memenuhi keperluan negara.
Menteri Pertanian dan Keterjaminan Makanan, Datuk Seri Mohamad Sabu, berkata langkah itu penting bagi memperkukuh keterjaminan makanan negara, khususnya mengambil kira ketidaktentuan geopolitik dan perubahan cuaca yang boleh menjejaskan rantaian bekalan makanan global.
Katanya, projek perintis berskala besar itu dilaksanakan dengan kerjasama sektor swasta, termasuk Genting Berhad di Genting Tanah Merah Estate, Sepang, membabitkan kawasan 400 hektar.
“Sekarang 100 peratus keperluan jagung (bijian) diimport, jadi kerjasama syarikat seperti Genting dan syarikat lain yang akan menyahut seruan kerajaan demi keterjaminan makanan negara.
“Sekarang usaha kurangkan kebergantungan masih kosong, ada dibuat tetapi terlalu kecil. Insya-Allah apabila penuaian hasil di sini (Sepang), di Perlis sudah sedia kita akan lihat penghasilan itu agak sederhana, belum besar lagi,” katanya pada sidang media Majlis Peluncuran Varieti Jagung Bijian Tempatan dan Penanaman Jagung Bijian Berskala Besar di sini, hari ini.
Mohamad berkata, Malaysia mengimport kira-kira 2.5 juta tan jagung bijian setahun, dengan nilai import mencecah sekitar RM3 bilion.
Katanya, pengeluaran tempatan dijangka mula menunjukkan hasil pada akhir tahun ini, manakala projek lebih besar turut dirancang di Perlis dan Sarawak.
“Di Perlis kira-kira 2,500 hektar dan di Sarawak 5,500 hektar. Ini pusat tanaman jagung selain di seluruh kawasan Perak, Johor dan Pahang yang sudah mula ditanam,” katanya.
Beliau berkata, pengeluaran tempatan dijangka mencapai sekitar tiga hingga empat peratus daripada keperluan negara pada peringkat awal, sebelum diperluaskan berperingkat bagi mencapai sasaran 30 peratus menjelang 2040.
Bagaimanapun, katanya, sasaran itu masih jauh untuk dicapai kerana Malaysia memerlukan jutaan tan jagung bijian setiap tahun, namun pengeluaran secara domestik perlu dimulakan sebagai langkah mengurangkan kebergantungan kepada bekalan luar.
Sementara itu, Mohamad berkata, Institut Penyelidikan dan Kemajuan Pertanian Malaysia (MARDI) berperanan penting membangunkan benih tempatan MZ 1 dan MZ 2 yang sesuai untuk pengeluaran berskala besar.
Katanya, pengeluaran jagung bijian tempatan juga berpotensi membantu menstabilkan kos makanan ternakan, sekali gus memberi kesan kepada harga ayam dan telur.
“Harga ayam bergantung kepada makanan ayam ini dan soya serta jagung bijian kita import 100 peratus,” katanya.
Beliau berkata, usaha sama kerajaan dan sektor swasta itu akan diteruskan bagi memastikan keperluan jagung bijian negara dapat dihasilkan di Malaysia.
“Kita tak boleh ramalkan geopolitik, ia berlaku di mana-mana saja dan ini persediaan kita supaya dapat sediakan (tampung keperluan) di Malaysia.
“Apabila berlaku gangguan rantaian bekalan global, negara terdedah kepada risiko keterjaminan makanan, jadi kita mesti ada sekurang-kurangnya 30 peratus pengeluaran tempatan sebagai benteng pertahanan dan penyerap kejutan jika krisis luar berlaku,” katanya.
Ditanya penggunaan benih tempatan MZ 1 dan MZ 2, beliau berkata, ia dinilai berdasarkan tiga faktor iaitu ketahanan cuaca, persekitaran dan penyakit.

