PRN Melaka: Kerjasama atas peluang menang, bukan siapa pernah menang

PERSOALAN sama ada akan wujud jajaran politik baharu di Melaka pada Pilihan Raya Negeri (PRN) tidak lama lagi seperti disaksikan di Negeri Sembilan masih menjadi tandatanya.

Barisan Nasional (BN) yang mentadbir Negeri Hang Tuah sekadar mengungkap perkataan ‘terbuka’ atau ‘sedia berbincang’ terhadap tawaran diberikan Pakatan Harapan (PH) dan Perikatan Nasional (PN).

Justeru, sebarang kemungkinan masih ada, sama ada BN bersetuju menjalin persefahaman dengan PN seperti di Negeri Sembilan atau beralih pula kepada PH seperti kerjasama pada peringkat Persekutuan atau kekal bertanding solo seperti PRN 2021 yang lalu.

Melihat kembali hari bersejarah 1 Ogos lalu di Negeri Sembilan, kerjasama BN dan PN menjadi antara faktor menyumbang kemenangan memberangsangkan buat gabungan itu dengan majoriti dua pertiga, sekali gus membentuk kerajaan negeri yang mantap.

Keputusan itu menunjukkan persefahaman atau muafakat gabungan parti politik boleh menjadi formula berkesan memberi kelebihan dalam usaha memperoleh majoriti kukuh bagi pembentukan kerajaan negeri.

Namun, persoalan timbul sama ada formula seperti di Negeri Sembilan itu boleh direalisasikan pada PRN Melaka, apatah lagi Presiden PAS, Tan Sri Abdul Hadi Awang pada 3 Ogos lalu melihat kerjasama tidak semestinya diteruskan di negeri bersejarah berkenaan.

Bagi Pengerusi BN yang juga Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi gabungan diterajuinya masih membuka ruang rundingan berhubung agihan, termasuk pertukaran kerusi bagi menghadapi PRN Melaka.

Bagaimanapun, Timbalan Perdana Menteri mengingatkan bahawa rundingan itu perlu dilakukan secara jujur dan ikhlas, selain tidak menjejaskan jumlah kerusi dimiliki setiap parti.

Ahmad Zahid turut menegaskan prinsip asas rundingan adalah kerusi dimenangi mana-mana parti perlu dihormati dan tidak boleh diserahkan begitu sahaja kepada rakan politik.

Ketua Setiausaha PH, Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail sebelum ini berkata perbincangan mengenai kerjasama dengan BN bagi menghadapi PRN Melaka akan diputuskan selepas berbincang dengan Ketua Menteri, Datuk Seri Ab Rauf Yusoh.

Jika rundingan antara BN dan PH membuahkan hasil, ia berpotensi mengubah lagi landskap persaingan di PRN Melaka, terutama dari segi pembahagian kerusi dan strategi mengelakkan pertembungan sesama parti dalam gabungan persefahaman berkenaan.

Namun, persoalan utama masih tertumpu sejauh mana formula kerjasama itu dapat diterima semua parti dalam setiap gabungan yang memeterai muafakat demikian.

Pensyarah Kanan Sains Politik, Fakulti Sains Pentadbiran dan Pengajian Polisi, Universiti Teknologi MARA (UiTM), Mujibu Abd Muis berpandangan bahawa kerjasama berkenaan wajar dibincangkan, namun tidak semestinya diterima secara automatik oleh semua pihak.

Bagi PH, katanya, pendekatan kerjasama itu dapat mengelakkan pertembungan tiga penjuru, sekali gus mengurangkan risiko perpecahan undi, namun bagi BN pula, persoalannya ialah apa nilai yang mereka peroleh hasil kerjasama itu.

“Selepas PRN Johor dan Negeri Sembilan, BN mempunyai kedudukan tawar-menawar yang lebih kuat dan tidak lagi berada dalam keadaan perlu menerima apa sahaja formula daripada PH,” katanya.

Tiga pilihan untuk BN

Menurut Mujibu, BN juga dijangka mempunyai alternatif lain sekiranya PN turut membuka ruang rundingan, kemungkinan lebih menjurus kepada usaha memaksimumkan keuntungan politik, bukan sekadar memilih rakan untuk bekerjasama.

“Saya melihat sekurang-kurangnya tiga pilihan pertimbangan untuk BN. Pertama, bekerjasama dengan PH, di mana kelebihannya ialah dari segi kestabilan dan kurang pertandingan sesama rakan dalam Kerajaan Perpaduan.

“Kedua, BN bekerjasama dengan PN. Ini boleh mengukuhkan undi Melayu, terutama jika BN melihat berlaku potensi perpindahan undi antara kedua-dua blok seperti berlaku di Negeri Sembilan.

“Ketiga, BN bergerak secara solo. Ini memberikan BN kebebasan memilih kerusi dan membuktikan kekuatan sebenar parti, tetapi saya fikir keputusan BN tidak boleh dibuat berdasarkan Melaka sahaja,” katanya.

Pilihan paling realistik bagi BN pada PRN Melaka pada pandangan beliau adalah bekerjasama dengan PH secara selektif, bukannya membahagikan kerusi secara pukal.

Mujibu melihat BN kini mempunyai kedudukan tawar-menawar lebih kuat, justeru tidak perlu terlalu banyak berkompromi dengan gabungan lain dalam soal pembahagian kerusi.

“Kerjasama dengan PN juga masih menjadi pilihan BN, tetapi tuntutan kerusi dan kesan terhadap hubungan BN dengan PH di Putrajaya perlu dipertimbang. Bergerak solo pula beri BN kebebasan, tetapi risikonya ialah pertandingan tiga penjuru.

“Jadi formula terbaik ialah kerjasama tanpa kehilangan autonomi. BN boleh bekerjasama apabila ia meningkatkan peluang untuknya menang, tetapi tidak sampai mengorbankan kuasa tawar-menawar untuk PRU16,” katanya.

Mengulas kaedah agihan kerusi, Mujibu berkata, pendekatan berdasarkan status quo wajar dijadikan titik permulaan rundingan di Melaka, namun tidak boleh dijadikan formula automatik.

Menurutnya, pengagihan kerusi perlu mengambil kira data semasa, kekuatan calon, prestasi penyandang dan tahap persaingan di setiap kawasan kerana realiti politik hari ini sudah berubah dengan kerusi yang dimenangi dahulu tidak semestinya kekal selamat.

“Kerusi yang benar-benar kuat boleh dikekalkan kepada BN, manakala kerusi marginal perlu dirunding secara lebih fleksibel. Bagi PH atau PN, menerima formula ini mungkin bermakna mengorbankan sebahagian kerusi, tetapi sebagai balasan, dapat mengurangkan risiko pertandingan tiga penjuru dan mengekalkan kerjasama politik,” katanya.

Mujibu berkata, kompromi di PRN Melaka juga tidak boleh dianggap sebagai hutang politik perlu dibayar PN, khususnya PAS di negeri lain seperti Kedah, Kelantan dan Terengganu.

“Ia kerana negeri berkenaan mempunyai demografi serta sejarah politik berbeza. Jadi, saya melihat formula terbaik ialah status quo plus data semasa. Kerjasama perlu dibina berdasarkan peluang menang, bukan semata-mata berdasarkan siapa pernah menang,” katanya.

Sumber : Berita Harian