Bapa, anak lelaki terperangkap dalam kebakaran rumah

KUALA NERUS: Dua beranak dilaporkan terperangkap dalam rumah dua tingkat yang terbakar berhampiran Sekolah Kebangsaan (SK) Tok Jembal, di sini, awal pagi tadi.

Kejadian kira-kira jam 2.49 pagi itu membabitkan seorang lelaki dewasa dan kanak-kanak lelaki.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Kuala Nerus, Timbalan Penguasa Bomba (TPgB) II Azmi Omar berkata, pihaknya menerima panggilan kecemasan pada jam 2.49 pagi, sebelum jentera tiba di lokasi kira-kira sembilan minit kemudian.

“Setibanya di lokasi pada jam 2.58 pagi, didapati sebuah rumah jenis separuh kekal dua tingkat berkeluasan kira-kira 40 x 50 kaki terbakar 70 peratus.

“Maklumat awal mendapati terdapat dua mangsa terperangkap di dalam rumah iaitu seorang lelaki dewasa dan kanak-kanak lelaki, manakala seorang mangsa wanita dewasa berjaya keluar menyelamatkan diri,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata, operasi pemadaman dan usaha menyelamat mangsa sedang dijalankan anggota BBP Kuala Nerus dengan bantuan BBP Kuala Terengganu.

“Anggota menggunakan dua aliran hos sepanjang 300 kaki dan 200 kaki, satu cabang pembahagi dan tiga pancutan air dari tangki jentera FRT dan CFRT turut digunakan,” katanya.

Beliau berkata, sebuah jentera tangki air turut melakukan kaedah ‘relay pumping’ menggunakan satu aliran hos sepanjang 100 kaki ke jentera bomba bagi memastikan bekalan air mencukupi.

Seramai 16 anggota terbabit dalam operasi berkenaan membabitkan sebuah jentera FRT, sebuah CFRT dan sebuah water tanker.

Operasi dilaporkan terkawal pada jam 4.14 pagi dan masih dijalankan bagi usaha menyelamat serta memastikan keadaan di lokasi benar-benar selamat.

SUMBER : BULETIN TV3