KUALA LUMPUR: Parti Wawasan Negara (WAWASAN) Johor akan menggerakkan 26 bahagiannya di negeri itu untuk mencapai sasaran minimum 1,000 ahli serta menubuhkan cawangan berdasarkan jumlah pusat daerah mengundi (PDM) di setiap kawasan Parlimen.
Ahli Majlis Tertinggi WAWASAN yang juga Penyelaras Majlis Perhubungan WAWASAN Johor, Datuk Zulkifli Bujang berkata, ini penting bagi membentuk organisasi tersusun, inklusif dan benar-benar bersedia untuk menghadapi Pilihan Raya Umum (PRU) ke-16.
“WAWASAN Johor mahu memastikan kekuatan parti tidak hanya kelihatan pada struktur kepimpinan tetapi dapat dibuktikan melalui sokongan akar umbi, khidmat kepada masyarakat dan keupayaan memahami serta memperjuangkan isu rakyat.
“WAWASAN Johor akan terus bekerja secara tersusun bagi memastikan setiap bahagian berfungsi sebagai pusat gerak kerja rakyat, bukan sekadar organisasi yang diwujudkan untuk menghadapi pilihan raya,” katanya dalam kenyataan.
Hingga kini, watikah pelantikan sudah diserahkan kepada Ketua Bahagian (Penaja) bagi 22 daripada keseluruhan 26 bahagian di negeri ini.
“Empat bahagian selebihnya kini berada pada peringkat penilaian akhir. Watikah pelantikan dijangka diserahkan kepada mereka dalam masa terdekat selepas proses penelitian diselesaikan bagi memastikan individu dipilih mempunyai kesediaan, kewibawaan dan keupayaan membina organisasi kukuh di kawasan masing-masing.
“Ini permulaan kepada tanggungjawab yang lebih besar untuk memperluas keahlian, membentuk cawangan, memperkemas jentera dan mendekati masyarakat secara berterusan,” katanya.
Sehubungan itu, beliau mempelawa seluruh Bangsa Johor yang berminat untuk mengenali Parti Wawasan Negara dengan lebih dekat agar menghubungi Ketua-Ketua Bahagian (Penaja) di kawasan masing-masing.
“Pintu Wawasan Negara sentiasa terbuka kepada rakyat daripada pelbagai kaum, agama, latar belakang profesional dan lapisan masyarakat yang mahu bersama-sama membina sebuah negara yang lebih harmoni serta bersatu dalam sebuah konsensus nasional,” katanya.
160 ketua bahagian seluruh negara
Semalam, WAWASAN menyerahkan watikah pelantikan kepada 160 Ketua Bahagian (Penaja) di seluruh negara dalam satu majlis yang diadakan di ibu negara.
Setiausaha Agung WAWASAN, Datuk Seri Saifuddin Abdullah berkata, beberapa lagi bahagian akan diumumkan dalam masa terdekat termasuk di Sarawak, selain barisan kepimpinan sayap pusat parti itu.
Pada Jun lalu, Pengasas Gerakan RESET yang juga ketua pembangkang, Datuk Seri Hamzah Zainudin mengumumkan penubuhan WAWASAN di Tanah Merah, Kelantan.
Bekas Timbalan Presiden BERSATU yang kini menerajui parti itu menyifatkan penubuhannya seiring gerakan menyempurnakan gagasan Konsensus Nasional Baharu.

