KUALA LUMPUR: Mahkamah Tinggi Shah Alam hari ini memutuskan usahawan hartanah, Datuk Mohamad Azlan Abdullah @ Ali berjaya dalam tuntutan difailkan terhadap Shahruldi Mahafiz Ramli berhubung beberapa hantaran didakwa berunsur fitnah dimuat naik defendan melalui Facebook.
Hakim Nor Hayati Mat memutuskan dua daripada hantaran yang dipertikaikan adalah bersifat memfitnah plaintif.
Peguam, Fahmi Adilah yang mewakili Mohamad Azlan, berkata kes difailkan anak guamnya pada 2022 dan dibicarakan pada April dan Jun lalu.
“Antara maksud fitnah yang diterima oleh mahkamah ialah dakwaan plaintif seorang penipu serta dakwaan plaintif terbabit dalam penipuan berkaitan urusan hartanah.
“Berhubung ganti rugi, mahkamah memerintahkan supaya jumlah ganti rugi yang perlu dibayar kepada plaintif ditaksirkan dalam prosiding berasingan dan plaintif dikehendaki memfailkan permohonan taksiran ganti rugi dalam tempoh 30 hari.
“Mahkamah turut memerintahkan defendan membayar kos sebanyak RM30,000 kepada plaintif tertakluk kepada fi alokatur,” katanya ketika dihubungi BH, hari ini.
Menurut Fahmi, Mohamad Azlan diarah memfailkan permohonan untuk taksiran ganti rugi dalam tempoh 30 hari.
“Keputusan ini menamatkan peringkat liabiliti dalam tindakan itu, manakala jumlah ganti rugi akan ditentukan mahkamah pada peringkat taksiran kelak,” katanya.
Dalam satu kenyataan, Mohamad Azlan bersyukur atas kemenangan dan berterima kasih kepada peguam mewakilinya kerana berjaya dalam tuntutan yang difailkan.
“Sekian lama saya menanggung kesan fitnah kononnya saya adalah scammer hartanah, reputasi dan imej saya terjejas. Kemenangan ini sekurang-kurangnya dapat membersihkan kembali nama baik saya yang tercalar,” katanya.
Untuk rekod, Mohamad Azlan sebelum ini berjaya memenangi satu kes saman berasingan terhadap individu sama dalam pampasan tuntutan hartanah bernilai RM590,000 di Mahkamah Seksyen Besut, Terengganu.

