Asisten Komisioner Anuar Bakri Abdul Salam (foto) berkata pada peringkat awal kira-kira lima hingga 10 anggota akan ditempatkan bersama sebuah Balai Polis Bergerak dan kereta peronda polis (MPV). -Gambar fail
KUALA LUMPUR: Polis bersedia menambah kekuatan anggota serta aset logistik sekiranya penyokong hadir dalam jumlah yang ramai bagi menyambut ketibaan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, di kediamannya di Langgak Duta, di sini, pada Isnin.
Ketua Polis Daerah Sentul, Asisten Komisioner Anuar Bakri Abdul Salam, berkata pada peringkat awal kira-kira lima hingga 10 anggota akan ditempatkan bersama sebuah Balai Polis Bergerak dan kereta peronda polis (MPV).
“Jika keadaan memerlukan penambahan anggota, kita (Polis Diraja Malaysia) sudah bersedia untuk menggerakkan tambahan pegawai, anggota serta logistik pada bila-bila masa,” katanya ketika dihubungi pada Ahad.
Mengulas lanjut, beliau berkata setakat ini tiada keperluan untuk melaksanakan sekatan jalan raya (SJR), sebaliknya kawalan lalu lintas akan dijalankan di kawasan berkenaan.
Pada Jumaat, Yang di-Pertuan Agong Sultan Ibrahim berkenan mengurniakan pengampunan bersyarat kepada Najib untuk menjalani baki hukumannya di bawah tahanan rumah hingga 23 Ogos 2028, tertakluk kepada pembayaran denda RM50 juta.
Najib, 73, sedang menjalani hukuman penjara di Penjara Kajang sejak 23 Ogos 2022.
Sabitan yang sedang dijalani beliau membabitkan penyelewengan dana SRC International Sdn Bhd, manakala kes berkaitan 1Malaysia Development Berhad (1MDB) masih dalam proses perbicaraan dan rayuan.
Lembaga Pengampunan Wilayah Persekutuan dipengerusikan Yang di-Pertuan Agong serta dianggotai Peguam Negara, menteri yang bertanggungjawab terhadap Wilayah Persekutuan dan tiga anggota lain yang dilantik Seri Paduka Baginda.
Pada Julai 2020, Najib disabitkan atas kesalahan menyeleweng RM42 juta dana SRC International dan didenda RM210 juta serta dijatuhi hukuman penjara 12 tahun.
Hukuman itu dikekalkan oleh Mahkamah Persekutuan pada Ogos 2022.
Namun, pada 2 Feb 2024, Urusetia Lembaga Pengampunan mengumumkan hukuman penjara Najib dikurangkan 50 peratus daripada 12 tahun kepada enam tahun, manakala denda dikurangkan daripada RM210 juta kepada RM50 juta.
Selamanya Malaysia

