Wanita tidak perlu jadi seperti orang lain untuk kejar bahagia

KEPALA BATAS: Wanita tidak perlu menjadi seperti orang lain untuk mengejar kebahagiaan, sebaliknya membina kehidupan mengikut nilai, prinsip dan acuan sendiri.

Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Bertam, Datuk Seri Reezal Merican Naina Merican, berkata setiap wanita mempunyai tafsiran berbeza mengenai kebahagiaan.

“Ada yang menemui bahagia melalui keluarga, kerjaya, anak-anak, perniagaan atau kehidupan sederhana dan tenang. Jangan ukur kebahagiaan dengan acuan orang lain.

“Wanita tidak perlu menjadi seperti orang lain untuk bahagia. Cukuplah menjadi versi terbaik diri sendiri, dengan nilai, prinsip dan acuan yang kita pilih.

“Apabila wanita diperkasakan, keluarga menjadi lebih kuat. Apabila keluarga kukuh, masyarakat juga akan menjadi lebih kuat,” katanya berucap pada program ‘Dari Wanita untuk Wanita – Bahagia Ikut Acuan Kita’, di sini.

Program anjuran SEJATI Pulau Pinang dengan kerjasama Pusat Khidmat ADUN Bertam itu menghimpunkan kira-kira 900 peserta, khususnya dari sekitar Kepala Batas dengan pengisian daripada perspektif Islam, kaunseling dan kekeluargaan.

Reezal berkata, program itu memberi ruang wanita berkongsi masalah secara lebih terbuka, selain mendapatkan pandangan dan bimbingan dalam menghadapi pelbagai cabaran kehidupan.

“Program ini memberi penekanan terhadap pengisian agama, kehidupan seharian serta kesejahteraan mental. Ia perlu diberi perhatian kerana wanita berdepan pelbagai tuntutan serta cabaran.

“Adakalanya wanita berdepan kesukaran lebih berat daripada lelaki,” katanya yang juga Pengerusi Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE).

Program menampilkan tokoh wanita berkongsi ilmu, termasuk Kaunselor Berdaftar dan Eksekutif Persatuan Kaunseling Malaysia (PERKAMA) Internasional, Datin Seri Ismalina Ismail.

Selain itu, pendakwah Jabatan Kemajuan Islam Malaysia (JAKIM), Ustazah Nazirah Abu Bakar, manakala Wanita Ikon Muda Pulau Pinang 2026/2027 yang juga kaunselor, Dr Aqilah Yusoff selaku moderator.

Sementara itu, Aqilah berkata, kali pertama beliau berdepan hampir 1,000 hadirin dan berada sama pentas dengan Ismalina dan Nazirah.

“Saya berasa kerdil tetapi tenang ditemani dua insan hebat ini yang banyak ilmu dan pengalaman. Aura positif dan kebaikan mereka membuatkan saya semakin yakin dan selesa untuk membabitkan diri dengan lebih aktif dalam program kemasyarakatan,” katanya.

Mengenai topik program, Aqilah berpendapat, kebahagiaan bukan bermakna kehidupan seseorang bebas daripada masalah, sebaliknya kemampuan untuk melalui setiap ujian dengan kekuatan diri serta pertolongan Allah SWT.

“Bahagia bukan dicapai apabila kita tiada masalah dalam hidup, tetapi apabila kita mampu melalui masalah dan segala ujian kehidupan dengan kemampuan diri serta pinjaman kekuatan daripada Allah SWT.

“Pengalaman melalui pelbagai ujian membantu seseorang mengenali diri, menyusun keutamaan dan seterusnya menjalani kehidupan dengan lebih bermakna,” tegasnya.

Mengenai Wanita Ikon Muda, Aqilah berharap semua yang mengenalinya, khasnya warga Pulau Pinang mengundinya di talian media sosial sebelum atau pada 15 Oktober ini.

Jumlah undi antara syarat melayakkannya meraih anugerah Ikon Wanita Muda Malaysia 2026/2027.

Pengasas dan Perunding HAQ Consultant ini kini memberi tumpuan mengembangkan perkhidmatan kaunseling dan pembangunan diri menerusi firma yang baru ditubuhnya.

Pada program sama, Reezal Merican menaja satu tiket penerbangan menunaikan umrah bersama Nazirah kepada hadirin bertuah di samping 40 hadiah lain sumbangan beberapa rakan strategik program.