KUALA LUMPUR: Kegagalan skuad hoki wanita negara memanfaatkan peluang terhidang terutama dalam kawasan D menjadi antara punca utama kekalahan 1-2 kepada Korea Selatan sekali gus menggagalkan misi mereka melangkah ke separuh akhir Sukan Asia Aichi-Nagoya 2026, di Gifu, semalam.
Ketua jurulatih skuad hoki wanita negara, C R Kumar berkata anak buahnya turut mengambil masa untuk mendapatkan rentak permainan sebelum bangkit memberikan aksi lebih baik pada suku ketiga dan keempat.
“Ini adalah perlawanan paling penting dan genting kerana kami tahu perlu menang untuk layak ke separuh akhir. Namun, pada dua suku pertama, kami tidak bermain seperti yang diharapkan.
“Pada suku ketiga dan keempat, kami bangkit dengan lebih kuat dan beraksi jauh lebih baik. Kami mempunyai beberapa peluang di dalam kawasan D tetapi peluang itu terlepas tanpa dapat melakukan pukulan tepat ke arah gol,” katanya.
Kumar berkata, kegagalan memanfaatkan peluang berkenaan akhirnya menghukum pasukannya dalam perlawanan yang menyaksikan Malaysia perlu menang untuk menghidupkan peluang ke separuh akhir.PauseNextMute
“Pukulan sudut penalti (PC) kedua tidak menjadi seperti yang dirancang kerana kami membuat beberapa perubahan tetapi tidak membuahkan hasil. Bagaimanapun, PC ketiga berjaya menghasilkan gol.
“Perlawanan nampak seperti aksi yang baik, tetapi sekiranya kami bermula dengan baik sejak awal lagi, kami mampu meraih keputusan yang lebih baik,” katanya.
Kekalahan itu menyaksikan Malaysia akan menentang Indonesia dalam perlawanan klasifikasi kedudukan kelima hingga kelapan yang dijadual berlangsung Rabu ini.

