Rumah Tanpa Loceng, pembelajaran tanpa had masa

APABILA mengetahui sekolah tempatnya mengajar bakal tenggelam susulan projek pembinaan Hidroelektrik Nenggiri, Muhammad Hafizu Aiman Jusoh berdepan satu persoalan: menunggu perpindahan atau terus melakukan sesuatu untuk komuniti yang masih berada di situ.

Guru berusia 35 tahun itu memilih yang kedua, lalu menjadikan sebuah dewan di Sekolah Kebangsaan (SK) Pulat sebagai Rumah Belajar Tanpa Loceng yang dibuka 24 jam kepada penduduk Pos Pulat, Gua Musang.

Dicetuskan tiga tahun lalu, inisiatif itu menyediakan ruang pembelajaran terbuka kepada murid dan penduduk setempat, membolehkan mereka datang pada bila-bila masa serta menentukan sendiri apa dan bagaimana mereka mahu belajar.

Menariknya, ‘Rumah Belajar Tanpa Loceng’ bukan hanya dikunjungi murid-murid tetapi juga komuniti setempat, termasuk ibu bapa dan penduduk dari tujuh kampung di Pos Pulat.

Muhammad Hafizu Aiman berkata, pada awal pembinaan Rumah Belajar Tanpa Loceng, dia berasa ragu-ragu untuk meneruskan usaha itu kerana mengetahui SK Pulat yang terletak di Pos Pulat akan tenggelam berikutan projek pembinaan Hidroelektrik Nenggiri yang dijangka siap tahun hadapan.

“Dalam rasa ragu-ragu itu, saya tetap teruskan Rumah Belajar Tanpa Loceng ini. Dengan kebenaran dan sokongan guru besar, saya menjadikan sebuah dewan sebagai tempat pembelajaran terbuka untuk semua penduduk.

“Siapa sangka yang datang ke rumah ini tidak hanya kanak-kanak atau murid di sekolah ini, tetapi juga ibu bapa dan penduduk di tujuh kampung di Pos Pulat. Malah ada yang berusia 73 tahun,” katanya yang sudah tiga tahun berkhidmat di SK Pulat.

Rumah Belajar Tanpa Loceng adalah ruang pembelajaran tanpa had masa yang menyediakan kemudahan pembelajaran, antaranya permainan robotik, dron, permainan Matematik, aktiviti Sains, Teknologi, Kejuruteraan dan Matematik (STEM), pembelajaran digital, akses internet serta ruang pembelajaran kendiri.

Rumah berkenaan turut dilengkapi Kamus Digital Bahasa Temiar, selain AI Storybook Mathematics dan LiTS Module.

Mohamad Hafizu Aiman berkata, walaupun hanya dapat digunakan untuk tempoh terhad, kewujudan Rumah Belajar Tanpa Loceng sepanjang hampir tiga tahun itu tetap berbaloi kerana memberi manfaat kepada penduduk Orang Asli di Pos Pulat.

“Kami difahamkan September ini, bangunan baharu sekolah sudah siap dan kami perlu berpindah. Bermakna, walaupun rumah ini hanya dapat digunakan untuk tempoh yang terhad, sepanjang hampir tiga tahun ini kita berjaya mengisinya dengan pelbagai aktiviti, pengalaman dan manfaat kepada murid serta komuniti.

“Bagi saya, lebih baik kita gunakan tiga tahun itu untuk membina sesuatu yang memberi manfaat daripada sekadar menunggu tiga tahun kerana tidak tahu bila perpindahan akan berlaku.

“Itulah yang saya rasa menarik mengenai rumah ini. Kami membinanya dalam keadaan yang tidak pasti, tetapi kami tetap percaya bahawa sesuatu yang sementara juga boleh memberikan impak besar kepada komuniti,” katanya yang berasal dari Melor, Kota Bharu.

Tambah Mohamad Hafizu Aiman, Rumah Belajar Tanpa Loceng itu akan diteruskan di sekolah baharu dengan usaha membina semula ruang berkenaan dari awal serta menambah baik kemudahan untuk penduduk Orang Asli kaum Temiar di situ.

Komitmen guru muda itu terhadap komuniti di Pos Pulat turut mendapat pengiktirafan apabila beliau dinobatkan sebagai pemenang RISE Educator Award 2026 anjuran Taylor’s College.

Katanya, pencalonan itu dibuat oleh guru lain yang melihat usaha dan impak pembinaan Rumah Belajar Tanpa Loceng kepada komuniti Orang Asli di Pos Pulat.

Susulan kemenangan itu, beliau menerima RM5,000 manakala SK Pulat menerima geran RM50,000 untuk menyokong inisiatif pembangunan sekolah yang memberi manfaat kepada murid dan komuniti.

“Kami bermula dari kosong dan insya-Allah kita bina kembali selain menambah baik dari segi kemudahan kepada penduduk Orang Asli kaum Temiar di sini.

“Apabila komuniti kami melalui perubahan, saya mahu murid-murid saya tahu bahawa perubahan itu tidak seharusnya menghalang mereka daripada mengejar impian. Pendidikan mesti terus berjalan dan peluang mesti terus dibuka,”katanya.