Juruterbang cuba junam pesawat menuju Israel, mahu ia terhempas bunuh semua orang – Dakwa penumpang

TEL AVIV: Seorang juruterbang didakwa menyerang seorang lagi juruterbang yang bertugas bersamanya dan cuba menjunam pesawat dibawa mereka supaya ia terhempas untuk membunuh semua orang di dalamnya, menurut seorang penumpang.

Insiden berlaku ketika pesawat itu sedang dalam penerbangan ke Israel dari Emiriah Arab Bersatu (UAE) sebelum mengubah haluan dan selamat mendarat di Arab Saudi, hari ini.

Penumpang, Miryam Shira Ohayon, berkata pesawat itu ‘hampir hilang kawalan’ apabila berlaku serangan tikaman dalam kejadian berkenaan.

“Pelaku itu cuba membunuh juruterbang terbabit dan secara dasarnya melakukan serangan bunuh diri dengan pesawat berkenaan.

“Pesawat berkenaan benar-benar sedang ke arah terhempas ketika itu, dan hanya tindakan bersama ramai orang akhirnya berjaya mengawal pelaku serta menumpaskannya,” katanya kepada pemberita melalui pembesar suara telefon dipegang ibu beliau yang menunggu di Lapangan Terbang Ben Gurion berhampiran Tel Aviv.

Beliau berkata, ada seorang doktor di dalam pesawat itu memberikan pertolongan cemas, selain orang ramai turut membantu merawat kedua-duanya yang mengalami kecederaan.

“Selain daripada juruterbang terbabit, tiada sesiapa lagi mengalami kecederaan.

“Namun, ketakutan betul-betul utama ketika itu ialah kapal terbang akan terhempas – perkara yang sememangnya cuba dilakukan oleh juruterbang terbabit,” katanya.

Ibu beliau, Yasmin Abukasis pula memberitahu AFP bahawa anaknya itu ‘menyangka mereka akan mati’, manakala seorang lagi wanita telah ‘pergi ke kokpit dan melihat terdapat banyak darah’.

Beliau berkata, dua lagi juruterbang lain yang turut berada dalam penerbangan itu kemudian mengambil alih serta melencongkan pesawat terbabit ke Arab Saudi dan selamat mendaratkannya.