Apa sudah jadi dengan anak-anak kita masih bersekolah terutama di peringkat menengah. Ini persoalan yang tidak boleh dianggap picisan apabila kes membabitkan remaja dan jenayah kekerasan terutama di sekolah berleluasa serta memasuki fasa menakutkan.
Pergaduhan kerana berbalas serangan mulut atau sembang maya dengan rakan sebaya, kemaruk bercinta, cemburu atau konflik kecil yang sepatutnya boleh diselesaikan dengan nasihat dan perbincangan, akhirnya berubah menjadi tragedi.
Kes kematian pelajar perempuan Tingkatan Empat di sekolah dekat Yong Peng pada Sabtu lalu wajar menjadi pengajaran besar kepada semua, terutama ibu bapa dan golongan remaja.
Mungkin kes di Damansara Utama, Petaling Jaya tahun lalu menjadi yang terakhir, tetapi Yong Peng menjadi kes seterusnya dilaporkan. Yang amat membimbangkan, bagaimana seorang anak muda boleh sampai ke tahap sanggup mencederakan orang lain sehingga meragut nyawa.
Pada usia sepatutnya mereka belajar, bergembira dengan rakan sebaya, menikmati zaman muda dan alam persekolahan yang tidak perlu fikir wang atau bekerja, ada pula terpaksa berdepan risiko menjalani kehidupan di sebalik tirai besi.
Dalam sekelip mata, emosi tidak terkawal boleh menukar seorang remaja kepada pesalah dan menggelapkan masa depannya. Kita perlu bertanya dengan jujur, adakah berlaku sesuatu yang tidak kena dengan silibus, pedagogi atau semua yang meliputi sistem pendidikan.
Bukan hendak menuding jari, tetapi seperti ada ‘kecacatan tidak kelihatan’ di dalamnya. Pendidikan Islam dan Pendidikan Moral masih relevan serta signifikan, tetapi sejauh mana nilai menghargai nyawa, mengawal marah dan bertenang menjadi benteng kepada pelajar daripada kecenderungan jenayah.
Namun, tidak boleh menyalahkan sekolah sepenuhnya kerana rumah sepatutnya menjadi tempat pertama pendidikan jiwa anak-anak daripada sekolah rendah ke menengah. Mungkin anak semakin jauh daripada teguran keluarga kerana lebih dekat dengan media sosial sehingga mencorakkan pemikiran, naluri serta tindakan mereka.

Hal ini mungkin nampak remeh bagi kebanyakan keluarga, tetapi pendekatan asuhan dan pendidikan yang jauh daripada nilai keagamaan dan budaya timur pasti mencetuskan tingkah laku di luar kewarasan.
Pengaruh pornografi, media sosial atau ketakutan ketinggalan trend (FOMO) juga tidak boleh diketepikan. Dunia digital terlalu terbuka mendedahkan remaja kepada kandungan ganas, seksual dan kandungan jelik.
Apa yang penting, tidak boleh menunggu satu lagi tragedi berlaku baru hendak bertindak. Sistem pendidikan perlu diperkukuh dengan pendidikan karakter, empati, kecerdasan emosi, pengurusan kemarahan dan kemahiran menyelesaikan konflik.
Masa depan untuk kelompok usia bertunas yang sepatutnya gemilang dan berjaya tidak sepatutnya dibayangi tindakan hilang kewarasan sehingga menjadi pembunuh.
Kita bukan sekadar mahu melahirkan pelajar cemerlang dalam peperiksaan, tetapi insan tahu nilai setiap nyawa, mampu mengawal diri dan mempunyai hati untuk menjadi manusia berperikemanusiaan tanpa mengira tahap pencapaian.

