Trump guna wang sendiri biayai iklan politik selepas dikritik guna wang pembayar cukai

WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, berkata beliau akan menggunakan wang sendiri untuk membiayai iklan politik menjelang pilihan raya pertengahan penggal pada November.

Keputusan itu dibuat selepas Trump dikritik kerana menggunakan wang pembayar cukai bagi membiayai iklan televisyen yang mempromosikan dirinya.

“Ini perkara yang agak biasa dilakukan tetapi daripada berbuat demikian, walaupun tiada apa yang akan membuat mereka berpuas hati, saya memutuskan untuk meneruskan Iklan Patriotik itu, antara lain dan membayarnya sendiri menggunakan wang yang saya kumpulkan untuk MAGA,” tulis Trump menerusi platform Truth Social miliknya.

Rumah Putih dan Trump sebelum ini mempertahankan iklan berkenaan dengan menyifatkannya sebagai pengumuman khidmat awam yang bersifat patriotik, sama seperti yang pernah dibuat presiden terdahulu.

Bagaimanapun, iklan itu menerima kritikan daripada kedua-dua parti politik di AS.PlayNextUnmute

Iklan pertama yang disiarkan pada akhir September memaparkan Trump berkata, “Amerika tidak akan menjadi negara komunis,” dengan lagu “Love Me” dimainkan sebagai latar.

Satu lagi iklan memaparkan Trump memberi amaran mengenai “pertempuran terakhir”, dengan rakaman hitam putih menunjukkan beliau berjalan di sebuah koridor.

Iklan itu turut memaparkan tulisan, “Dibiayai oleh Kerajaan AS.”

Iklan berkenaan mencetuskan kritikan daripada ahli politik Republikan dan Demokrat.

“Anda tidak boleh menggunakan wang awam untuk mempromosikan diri sendiri,” kata Senator Republikan, John Kennedy, mengenai iklan itu.

Senator Demokrat, John Hickenlooper, pula menyifatkan iklan itu sebagai propaganda dan mendakwa ia menyalahi undang-undang serta tidak mencerminkan nilai Amerika. – AFP