WASHINGTON: Biro Siasatan Persekutuan (FBI) menahan seorang lelaki berusia 18 tahun yang didakwa merancang serangan tembakan rambang di Mall of America berhampiran Minneapolis bagi pihak IS, menurut dokumen mahkamah
Menurut dokumen pendakwaan, lelaki itu, Sheikhdoon Abdullahi Mohamud dari Minnesota, ditahan semalam selepas ejen penyamaran FBI menjual kepadanya senapang AK-47, peluru dan kelopak peluru pada harga AS$600 (RM2,414).
Mohamud didakwa atas satu pertuduhan menerima senjata api dan peluru dengan sengaja bagi melakukan tindakan keganasan.
Peguamnya tidak segera memberi maklum balas terhadap permintaan untuk mengulas perkara itu.
Mohamud memberitahu pemberi maklumat bahawa dia merancang menggunakan senjata berkenaan untuk membunuh antara 30 hingga 60 orang pada satu acara di pusat beli-belah itu pada akhir Oktober.
Menurut dokumen pendakwaan, Mohamud memberitahu sumber FBI menerusi beberapa platform pesanan bahawa dia mahu ke luar negara untuk berperang bagi pihak al-Shabaab, yang disenaraikan sebagai pertubuhan pengganas asing.
Dia berkata, jika tidak dapat pergi ke luar negara, dia akan melakukan serangan tembakan rambang dan kemudian mahu menyertai IS.

Mohamud juga didakwa menyatakan sokongan terhadap seorang lelaki yang merempuh orang ramai menggunakan trak di New Orleans pada 1 Januari 2025.
Serangan itu menyebabkan 14 orang terbunuh sebelum suspek maut dalam kejadian berbalas tembakan dengan polis.
Pada Julai, Mohamud didakwa berkata dia mahu membunuh antara 30 hingga 60 orang di Mall of America kerana mendakwa pemilik pusat beli-belah itu berketurunan Yahudi dan mahu membunuh orang bukan Islam.
Dia memberitahu pemberi maklumat bahawa dia merancang serangan pada 24 Oktober kerana acara ‘Hmong Arts Celebration’ dijadual berlangsung di pusat beli-belah itu pada hari berkenaan.
Mall of America ialah pusat beli-belah terbesar di Amerika Syarikat (AS), yang menempatkan taman tema, akuarium dan lebih 500 kedai.
Pada Selasa, Mohamud didakwa membeli AK-47, empat kelopak peluru berkapasiti 30 butir dan kira-kira 200 butir peluru daripada ejen penyamaran FBI. Tidak lama selepas itu, ejen FBI menahannya.
Mohamud hadir buat kali pertama di mahkamah di hadapan Hakim Majistret AS, Elizabeth Cowan Wright, pada Rabu. – REUTERS

