Tapp optimis Harimau Malaya mampu pergi jauh

KUALA LUMPUR: Kualiti sedia ada dalam skuad kebangsaan cukup untuk membawa Harimau Malaya melangkah lebih jauh di pentas antarabangsa, sekali gus membuktikan potensi sebenar pasukan ini masih belum mencapai kemuncaknya.

Keyakinan itu dilontarkan tonggak pertahanan baharu negara, Brad Tapp yang menyifatkan proses pembentukan skuad Harimau Malaya kini berada pada landasan tepat menerusi gabungan dinamik antara pemain muda dan muka baharu.

Meskipun hadir dalam fasa transisi pasukan, Tapp menegaskan jurang keserasian bukan lagi isu utama kerana persekitaran positif dalam kem kebangsaan banyak membantu mempercepat proses integrasi pemain.

“Kami sentiasa mahu memberikan yang terbaik. Kami mempunyai ramai pemain muda dan beberapa pemain seperti saya yang baru menyertai pasukan.

“Kami adalah skuad yang segar tetapi kami akan sentiasa memberikan yang terbaik tanpa mengira apa jenis kejohanan atau perlawanan sekalipun,” katanya.

Pertahanan Johor Darul Ta’zim (JDT) itu juga melihat disiplin dan kualiti yang ditunjukkan pada kempen Piala ASEAN FIFA sebagai gambaran awal kepada keupayaan sebenar yang mampu diperagakan skuad Harimau Malaya pada tugasan antarabangsa yang akan datang.

“Satu penghormatan besar dapat berada di sini dan saya sangat bersyukur. Semua orang menyambut baik kehadiran kami.

“Kami mempunyai ramai pemain berkualiti dan saya fikir kita sudah membuktikannya dalam kejohanan ini tetapi saya tahu kita boleh pergi lebih jauh dan melakukan jauh lebih baik,” katanya.

Sebagai rekod, pertahanan berusia 25 tahun itu menjadi antara pemain penting yang membentuk benteng kebal yang menyaksikan skuad negara tidak melepaskan sebarang gol dalam empat perlawanan Piala ASEAN FIFA.