KAJANG – Kejadian tanah runtuh yang menimpa enam kenderaan yang diletakkan di sepanjang Jalan Nilam di sini, petang tadi, dipercayai akibat tembok penahan setinggi lima meter runtuh susulan hujan lebat.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, siasatan awal mendapati, tembok penahan berkenaan dipercayai gagal menahan pergerakan tanah susulan hujan lebat yang bermula kira-kira jam 3 petang.
Bagaimanapun, ujarnya, punca sebenar kejadian tanah runtuh itu masih dalam siasatan pihak berkaitan.
“Runtuhan itu menyebabkan tanah menimpa beberapa kenderaan yang diletakkan berhampiran kawasan terjejas.
“Tiga kereta yang rosak dalam kejadian itu adalah Proton Saga, Proton Satria dan Proton Wira Aeroback.
“Sementara itu, tiga buah motosikal masing-masing Yamaha Nouvo, Honda Wave dan Yamaha Lagenda turut mengalami kerosakan,” katanya dalam kenyataan malam ini.
Bagaimanapun, Naazron berkata, tiada kemalangan jiwa atau kecederaan dilaporkan susulan kejadian tersebut. – MalaysiaGazette

