KUALA LUMPUR: Kira-kira 400,000 belia berumur 15 hingga 30 tahun di negara ini menganggur dengan kadar 6.3 peratus pada Jun lalu berdasarkan data Jabatan Perangkaan Malaysia (DOSM).
Menteri Belia dan Sukan, Dr Mohammed Taufiq Johari, berkata bagi aspek guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran, statistik DOSM pada Suku Tahun Kedua 2026 menunjukkan kadar bagi belia berumur 15 hingga 24 tahun adalah 74.3 peratus, membabitkan 476,300 orang.
“Kumpulan ini merujuk kepada belia bekerja yang berpendidikan tertiari tetapi bekerja dalam kategori pekerjaan separuh mahir dan berkemahiran rendah,” katanya dalam jawapan bertulis yang disiarkan laman sesawang Parlimen.
Beliau menjawab menjawab soalan Afnan Hamimi Taib Azamudden (PN-Alor Setar) berhubung kadar pengangguran dan guna tenaga tidak penuh dalam kalangan belia serta keberkesanan Program Sosioekonomi Belia 2030 yang sudah bermula tahun ini.
Dr Mohammed Taufiq berkata, Kementerian Belia dan Sukan (KBS) sentiasa memberi perhatian terhadap isu pengangguran dan guna tenaga tidak penuh dalam kalangan belia.
“Sejajar dengan cabaran itu, Pelan Pemerkasaan Sosioekonomi Belia 2030 menjadi antara kerangka strategik kerajaan untuk menangani cabaran sosioekonomi belia.
“Ini termasuk belia di luar Lembah Klang, melalui tiga matlamat utama, iaitu menjana ekonomi belia, memperkukuh kesejahteraan dan inklusiviti belia serta mempergiat pembangunan mampan.
“Pelan ini dilaksanakan melalui 10 strategi dan 24 inisiatif, dengan pembabitan 76 rakan kolaborasi merentas kementerian dan agensi,” katanya.
Tambah beliau, antaranya ialah Kementerian Sumber Manusia (KESUMA), Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT), Kementerian Pendidikan Malaysia (KPM), Kementerian Pembangunan Usahawan dan Koperasi (KUSKOP), Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) dan Kementerian Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat (KPWKM).
Beliau menegaskan pelan itu menetapkan sasaran mengurangkan kadar pengangguran belia berumur 15 hingga 30 tahun daripada 7.3 peratus pada tahun 2022 kepada 6.5 peratus menjelang 2030, manakala kadar guna tenaga tidak penuh berkaitan kemahiran belia disasarkan berkurang daripada 51.7 peratus kepada 50.1 peratus.
“Daripada aspek keberkesanan, pelaksanaan inisiatif ini dipantau melalui Pelan Tindakan Pembangunan Belia Malaysia 2035 bermula tahun 2026 dan dinilai melalui pencapaian hasil termasuk peningkatan kemahiran, kebolehpasaran, pendapatan dan penyertaan belia dalam tenaga buruh, bukan berdasarkan jumlah penyertaan program semata-mata.
“Antara petunjuk yang boleh dilihat ialah prestasi kebolehpasaran graduan Institusi Latihan Kemahiran Belia dan Sukan (ILKBS) iaitu kadar kebolehpasaran graduan ILKBS pada 2025 adalah 96.41 peratus dan 2026 adalah 96.46 peratus.
Katanya, dalam tempoh sama, purata gaji keseluruhan graduan turut meningkat daripada RM1,911.67 pada 2023 kepada RM2,079.85 pada 2025.

