MULTAN, Pakistan – Sekurang-kurangnya empat orang maut manakala lebih sedozen lagi cedera selepas sebuah kereta api tergelincir berhampiran Multan, di selatan wilayah Punjab, Pakistan.
Jurucakap Jabatan Perkhidmatan Kecemasan Punjab, Farooq Ahmed berkata, empat orang disahkan maut manakala sekurang-kurangnya 17 lagi cedera, namun punca kejadian masih belum diketahui.
Ahmed berkata, sebanyak 11 ambulans dan 30 anggota penyelamat dihantar ke lokasi kejadian selepas kemalangan itu dilaporkan pada pukul 5.21 pagi (waktu tempatan).
Seorang anggota penyelamat di lokasi kejadian mengesahkan sekurang-kurangnya empat orang maut, namun memberikan angka lebih tinggi iaitu 25 orang cedera.
Wartawan AFP yang berada di lokasi melihat mayat seorang mangsa yang terkorban di dalam gerabak kereta api.
Presiden Pakistan, Asif Ali Zardari dan Perdana Menteri, Shehbaz Sharif menyuarakan kebimbangan berhubung kejadian kereta api tergelincir di Punjab itu.
Susulan itu, Zardari mengarahkan pihak berkuasa supaya “menjalankan siasatan telus bagi menentukan punca kemalangan”.
Sekurang-kurangnya 34 orang maut pada Ogos 2023 apabila sebuah kereta api tergelincir berhampiran Nawabshah, di selatan Pakistan.
Kemalangan dan kejadian kereta api tergelincir kerap berlaku dalam sistem landasan kereta api Pakistan yang usang.
Rangkaian sepanjang hampir 7,500 kilometer itu membawa lebih 80 juta penumpang setiap tahun.
Rangkaian yang dibina sejak era penjajahan itu masih menggunakan landasan, persimpangan dan jambatan berusia lebih 150 tahun, meskipun usaha pemodenan sedang dilaksanakan menerusi Koridor Ekonomi China-Pakistan yang berskala besar. – MalaysiaGazette

