Lori rempuh anggota JPJ ketika pemeriksaan di PLUS disahkan hilang kawalan – Polis

SEREMBAN: Lori yang merempuh dua anggota Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) sehingga menyebabkan seorang daripadanya maut di Kilometer 256.1 Lebuhraya Utara- Selatan (PLUS), di sini, malam tadi dipercayai hilang kawalan.

Ketua Polis Negeri Sembilan, Datuk Alzafny Ahmad berkata, kejadian kira-kira jam 11.30 malam berhampiran susur Plaza Tol Senawang itu membabitkan dua lori dan sebuah kenderaan utiliti sukan (SUV) milik JPJ.

“Siasatan awal mendapati dua anggota penguat kuasa itu dikatakan sedang menjalankan pemeriksaan terhadap sebuah lori yang membawa muatan kabin di lorong kecemasan.

“Sejurus pemeriksaan selesai, sebuah lori lain membawa muatan barangan makanan kering dari arah belakang melalui lorong kiri dikatakan hilang kawalan.

“Lori itu dipercayai gagal mengelak sebelum merempuh bahagian belakang SUV JPJ bersama dua anggota serta lori diperiksa di hadapan,” katanya melalui kenyataan.

Akibat kemalangan itu, katanya pemandu SUV JPJ iaitu seorang lelaki berusia 42 tahun cedera pada kepala dan disahkan meninggal dunia di lokasi.

“Penumpang SUV, 32, cedera parah pada kepala serta beberapa bahagian badan dan kini menerima rawatan di Zon Merah Hospital Tuanku Ja’afar Seremban (HTJS).

“Pemandu kedua-dua pemandu lori masing-masing berusia 44 dan 48 tahun turut cedera dan menerima rawatan di unit kecemasan HTJS,” katanya

Kes disiasat mengikut Seksyen 41(1) Akta Pengangkutan Jalan 1987.