Konon mahu kekal bertenaga, 35 pemandu dikesan positif dadah

NIBONG TEBAL: Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang akan memperhebat penguatkuasaan bagi membendung penyalahgunaan dadah dalam kalangan pemandu kenderaan perdagangan.

Pengarah JPJ negeri, Zulkifly Ismail, berkata ia juga memastikan budaya mengambil bahan larangan kononnya untuk kekal bertenaga ketika memandu tidak menjadi amalan dalam industri pengangkutan.

Katanya, menerusi operasi penguatkuasaan dijalankan di negeri itu sejak Januari lalu, pihaknya mengesan 35 pemandu positif dadah.

Beliau berkata, daripada jumlah terbabit, majoritinya membabitkan pemandu kenderaan perdagangan seperti bas dan lori, sekali gus menunjukkan penyalahgunaan dadah dalam kalangan pemandu kategori itu perlu ditangani secara berterusan.

“Berdasarkan keseluruhan kes direkodkan, dadah jenis Syabu paling tinggi membabitkan 23 kes, diikuti ganja (lima kes); ketum (enam) dan morfin (satu).PauseNextMute

“Apabila ditanya mengapa ambil barang larangan ini, kebanyakan menjawab nak kekal bertenaga dan kuat tetapi sebenarnya itu pandangan mereka sahajalah, hakikatnya tidak begitu.

“Oleh itu, operasi ini sebahagian usaha berterusan JPJ memperkukuh penguatkuasaan bagi membendung penyalahgunaan dadah kerana tidak mahu budaya mengambil dadah untuk kekal bertenaga ketika memandu dianggap biasa dalam industri pengangkutan,” katanya.

Beliau berkata demikian kepada pemberita selepas Operasi Bersepadu Dadah Terhadap Kenderaan Perdagangan dilaksanakan JPJ bersama Agensi Anti Dadah Kebangsaan (AADK) di Stesen Penguatkuasa Valdor di sini, malam tadi.

Zulkifly berkata, menerusi operasi itu tiga lagi kes penyalahgunaan dadah baharu dikesan ke atas pemandu kenderaan perdagangan termasuk seorang penunggang motosikal berusia lingkungan 30-an hingga 40-an masing-masing positif syabu dan morfin.

Beliau berkata, JPJ turut menggantung lesen memandu serta Lesen Vokasional (GDL dan PSV) terhadap pemandu didapati positif dadah.

“Pemandu bertanggungjawab mengawal kenderaan, manakala pengusaha (syarikat lori dan bas) bertanggungjawab mengurus risiko, manakala JPJ bertanggungjawab memastikan undang-undang jalan raya dipatuhi.

“Keselamatan jalan raya bukan hanya tanggungjawab pemandu. Pengusaha dan syarikat logistik juga bertanggungjawab memastikan pemandu diupah benar-benar layak, cergas dan bebas dadah,” katanya.

Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang, Zulkifly Ismail ketika Operasi Bersepadu Dadah terhadap kenderaan perdagangan di Stesen Penguatkuasa Valdor. - Foto NSTP/ Auris Faqrurazzi
Pengarah Jabatan Pengangkutan Jalan (JPJ) Pulau Pinang, Zulkifly Ismail ketika Operasi Bersepadu Dadah terhadap kenderaan perdagangan di Stesen Penguatkuasa Valdor. – Foto NSTP/ Auris Faqrurazzi