Keadaan kesihatan Tun M jadi penentu hala tuju kes saman fitnah terhadap PM

SHAH ALAM – Keadaan kesihatan Tun Dr. Mahathir Mohamad akan menjadi penentu perkembangan kes saman fitnah RM150 juta yang dikemukakan terhadap Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim.

Peguam bekas Perdana Menteri, Muhammad Rafique Rashid Ali turut menyuarakan kebimbangan mengenai kesediaan, tahap kecergasan, keselesaan dan stamina Dr. Mahathir kerana faktor usia dan tahap kesihatannya.

Sehubungan itu, katanya, pasukan peguam mempertimbang untuk memohon supaya prosiding dijalankan secara dalam talian dan skop pemeriksaan balas dihadkan.

Justeru, katanya, Mahkamah Tinggi di sini akan dimaklumkan pada 4 Disember ini mengenai langkah seterusnya dalam saman fitnah difailkan Dr. Mahathir terhadap Anwar.

“Kami akan memohon mahkamah membenarkan anak guam menentukan hala tuju kes itu memandangkan keadaan kesihatannya pada masa ini.

“Kita semua sedia maklum mengenai keadaan Dr. Mahathir. Saya memohon kepada mahkamah untuk memberikan beliau masa dan ruang bagi menentukan langkah seterusnya,” katanya kepada wakil media hari ini.

Pengurusan kes tersebut dijadual dijalankan di hadapan Pesuruhjaya Kehakiman Datuk Donald Joseph Franklin.

Prosiding kes itu ditangguhkan pada Januari lalu, selepas Dr. Mahathir terjatuh semasa bersenam di rumah. Usia beliau genap 101 tahun pada 10 Julai lalu.

Bekas Perdana Menteri itu juga tidak hadir ke Forum Perniagaan dan Ekonomi SG4 2026 di Pusat Konvensyen Kuala Lumpur semalam akibat kekangan kesihatan.

Dalam saman itu, Dr. Mahathir mendakwa Anwar memfitnah beliau dengan mengeluarkan beberapa kenyataan bertujuan menjatuhkan reputasinya sepanjang tempoh 22 tahun menjadi Perdana Menteri.

Beliau mendakwa kenyataan itu dibuat semasa satu ucapan di kongres kebangsaan khas Parti Keadilan Rakyat (PKR) di Stadium Melawati, Shah Alam pada 18 Mac 2023.

Dr. Mahathir menuntut ganti rugi teladan RM100 juta dan ganti rugi am RM50 juta.

Beliau juga menuntut permohonan maaf secara bertulis serta satu sidang media khas di mana Anwar akan memohon maaf secara terbuka berhubung kenyataan yang didakwa berunsur fitnah itu.

Dalam pada itu, Anwar yang merupakan Presiden PKR dalam penyataan pembelaan pada 14 Jun tahun sama mendakwa saman Dr. Mahathir sebagai melemahkan kredibiliti beliau selaku Perdana Menteri. – MalaysiaGazette