Pekerja sauna warga China didenda RM10,000 tinggal lebih masa

BATU PAHAT: Pekerja sauna warga China didenda RM10,000 oleh Mahkamah Majistret di sini, hari ini selepas mengaku bersalah tinggal lebih tempoh.

Tertuduh, Jiang Hui, 34, membuat pengakuan itu selepas pertuduhan dibacakan jurubahasa di hadapan Majistret Mustaqim Sukarno.

Mahkamah turut memerintahkan tertuduh dipenjara enam bulan sekiranya gagal membayar denda berkenaan. Bagaimanapun, tertuduh menjelaskan denda itu.

Mengikut pertuduhan, Jiang didakwa tinggal di Malaysia selepas tamat tempoh yang dibenarkan tanpa alasan munasabah di sebuah pusat sauna di Jalan Mohd Salleh, di sini, pada jam 5.30 petang, 26 Oktober lalu.

Pertuduhan dikemukakan mengikut Seksyen 15(1)(c) Akta Imigresen 1959/63 (Akta 155) dan boleh dihukum mengikut Seksyen 15(4) akta sama, yang memperuntukkan hukuman denda minimum RM10,000 atau penjara maksimum lima tahun atau kedua-duanya sekali.Backward Skip 10sPlay VideoForward Skip 10s

Berdasarkan fakta kes, polis menyerbu sebuah pusat sauna dan menahan tertuduh. Pemeriksaan mendapati tertuduh gagal mengemukakan dokumen pengenalan diri yang sah.

Semakan dengan Jabatan Imigresen Malaysia (Imigresen) mengesahkan pas lawatan sosial tertuduh sudah tamat tempoh.

Pendakwaan dikendalikan Timbalan Pendakwa Raya, Nur Shahzleen Ibrahim, manakala tertuduh diwakili peguam Tan Song Yan.