WASHINGTON: Presiden Amerika Syarikat (AS), Donald Trump, semalam berkata sebuah pasukan petugas khas baharu ditubuhkan untuk menyekat laluan darat ke Iran susulan tentera AS mendakwa ia digunakan untuk penghantaran senjata dan bahan terlarang.
Pada Sabtu lalu, Markas Pemerintahan Pusat AS (CENTCOM) mengumumkan pembentukan sebuah pasukan terdiri daripada 20 anggota bagi memperluaskan sekatan laut AS ke atas pelabuhan Iran sepanjang tempoh perang.
“Pasukan Petugas ‘Iron Gate’ kini beroperasi sepenuhnya di Republik Islam Iran.
“Ditambah pula dengan sekatan laut terhebat dalam sejarah, amat sedikit yang dapat memasuki atau keluar dari Iran!” kata Trump menerusi platform Truth Social sebagaimana dilaporkan AFP.
Ketua CENTCOM, Laksamana Brad Cooper, dalam satu kenyataan pada Sabtu lalu, berkata pasukan petugas khas itu akan mengekang lagi keupayaan Iran untuk membiayai operasi, membina semula kilang senjata, dan menambah bekalan ketenteraannya.PauseNextMute
Menurut kenyataan berkenaan lagi, pasukan yang terdiri daripada petugas awam dan anggota tentera itu berpangkalan di Florida.
Ia akan menyelaras tindakan bersama agensi-agensi kerajaan AS untuk mencegah pergerakan sistem persenjataan canggih, teknologi dwiguna, bahan yang dikenakan sekatan serta aliran hasil didakwa haram, daripada merentasi sempadan darat Iran dan Laut Kaspia.
Bagaimanapun, Kor Pengawal Revolusi Islam (IRGC) Iran menegaskan usaha terbaru AS itu bakal gagal dan tidak akan meruntuhkan ekonomi republik Islam berkenaan.
“AS tidak akan sekali-kali mampu melaksanakan sekatan ekonomi yang sedang diusaha dan dicadangkannya sekalipun menggunakan pelbagai nama serta pendekatan berlainan.
“Pihak AS tidak akan mencapai matlamat mereka untuk mengenakan tekanan ekonomi yang melampau bagi mencetuskan kejatuhan dan keruntuhan ekonomi Iran,” kata jurucakap IRGC, Hossein Mohebi, menurut agensi berita Fars.
Malah, Mohebi menegaskan AS akan ‘tidak berdaya untuk menyekat’ saluran komunikasi antara Iran dengan negara-negara jiran.
Terdahulu, CENTCOM mendakwa sekatan laut terhadap pelabuhan Iran berjaya menghalang negara itu mengeksport minyak mentah bernilai lebih AS$25 bilion.
Pada Ogos lalu, AS mengumumkan kempen ‘menjerut ekonomi’ ke atas Iran yang bertujuan melumpuhkan ekonomi negara itu.
Sementara itu, REUTERS melaporkan Trump semalam berkata, beliau berkemungkinan besar tidak akan mengarahkan pelancaran serangan baharu ke atas Iran selagi rundingan terus menunjukkan kemajuan untuk menamatkan konflik ketika ini.
“Ia bergantung pada sama ada mereka menandatangani satu perjanjian yang sangat kukuh ataupun tidak.
“Jawapannya ialah kemungkinan besar ia tidak akan diperlukan,” katanya kepada CNN dalam satu wawancara melalui telefon.
Bagaimanapun, CNN tidak memperincikan soalan yang ditanya kepada Trump itu.
Selain itu, Trump berkata, AS telah mengenal pasti sasaran infrastruktur berpotensi, termasuk 38 jambatan yang ‘boleh dimusnahkannya dalam tempoh sejam saja’.

