Tuminah jamin peniaga Pantai Puteri kekal di tempat sama selepas selesai projek tambak pantai

TANJUNG KLING: Seramai 150 peniaga di Pantai Puteri tidak akan kehilangan tempat berniaga selepas kerja penambakan pantai di kawasan itu selesai, sebaliknya akan disusun semula di lokasi perniagaan lebih teratur.

Jaminan itu diberikan calon Barisan Nasional (BN) bagi Dewan Undangan Negeri (DUN) Pantai Kundor, Datuk Tuminah Kadi, yang juga penyandang kerusi berkenaan.

Beliau berkata, kerja penambakan pantai yang sedang dilaksanakan dijangka siap menjelang akhir tahun ini sebelum proses penyusunan semula gerai dilakukan sebagai sebahagian usaha mengindahkan kawasan berkenaan.

“Saya nak jelaskan, tidak akan ada satu gerai pun yang ditutup seperti yang diwar-warkan kononnya apabila saya menang nanti.

“Sekarang ini keadaan mungkin agak kurang selesa kerana kerja penambakan pantai sedang dijalankan. Selepas siap hujung tahun ini, kita akan susun semula gerai mengikut perancangan.PauseNextMute

“Saya berjanji kepada peniaga, tidak akan ada seorang pun yang tidak dapat berniaga. Insya-Allah, 150 peniaga akan disusun semula,” katanya ketika ditemui pada program tinjauan mesra di Pantai Puteri, di sini.

Tuminah berkata, peniaga yang menjalankan perniagaan di kawasan berkenaan tidak perlu bimbang mengenai masa depan perniagaan masing-masing.

Beliau turut meminta mereka mendapatkan penjelasan secara terus daripadanya sekiranya timbul sebarang kekeliruan berhubung perancangan pembangunan kawasan itu.

“Kalau dengar khabar angin, lebih baik tanya saya sendiri. Jangan tanya orang lain kerana mungkin ceritanya berbeza.

“Semua peniaga akan dapat berniaga. Kita cuma perlukan sedikit masa lagi untuk mengindahkan kawasan perniagaan ini,” katanya.

Mengulas lanjut mengenai pembangunan Pantai Puteri, Tuminah berkata, beberapa perancangan sudah dirangka termasuk penyediaan kawasan riadah, perkhemahan, laluan pejalan kaki dan kawasan makanan.

Katanya, antara kemudahan yang berjaya dilaksanakan sepanjang tempoh beliau menjadi Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) ialah pemasangan lampu di sepanjang kawasan pantai.

“Sejak saya menjadi ADUN di sini, kita dapat memasang lampu di sepanjang pantai. Itu antara perancangan yang sudah dilaksanakan dalam pelan pembangunan Pantai Puteri.

“Kita juga mahu meneruskan pembangunan yang sudah dirancang supaya kawasan ini menjadi lebih cantik dan selesa,” katanya.

Sementara itu, Tuminah berkata, beliau akan terus memberi tumpuan untuk bertemu seramai mungkin pengundi dalam tempoh berbaki seminggu.

“Saya berharap sokongan dapat diterjemahkan pada 14 November ini, khususnya di Pantai Kundor, supaya kita dapat menyumbang satu kerusi kepada BN untuk membentuk kerajaan semula,” katanya.

Pada PRN kali ini, kerusi DUN Pantai Kundor menyaksikan pertembungan dua calon wanita, iaitu Tuminah dan Datin Seri Dr Asmah Samat yang mewakili BERSATU.