KUALA LUMPUR – Datuk Seri Anwar Ibrahim menegaskan, jasa ratusan tahun sekalipun tidak boleh menjadi alasan untuk membiarkan sesiapa menyakau dan merompak harta rakyat dan negara.
Tegas Perdana Menteri, sikap berkompromi dengan rasuah atas nama jasa itu jauh daripada ajaran Islam.
ADVERTISEMENT
“‘Tolerance for evil’ inilah yang merosakkan kita.
“Kita yang benci dan menentang rasuah perlu bersuara lebih lantang, sampaikan mesej jelas bahawa pelaku rasuah tempatnya di penjara,” katanya menerusi Facebooknya hari ini tanpa merujuk kepada mana-mana pihak.
Hantaran itu mencetuskan reaksi yang pelbagai dalam kalangan pengikut Perdana Menteri dalam laman sosial berkenaan, berikutan perkembangan terkini melibatkan bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak.
Semalam, Mahkamah Tinggi Kuala Lumpur mengeluarkan perintah pelepasan baharu selaras dengan perkenan Yang di-Pertuan Agong, Sultan Ibrahim agar Najib menjalani hukuman tahanan di rumah berkuat kuasa serta-merta. – MalaysiaGazette

