KUCHING: Anak Sarawak digesa melengkapkan diri dengan ilmu dan kepakaran terkini bagi merebut peluang dalam sektor ekonomi baharu, khususnya ekonomi digital dan angkasa lepas.
Premier Sarawak, Tan Sri Abang Johari Abang Openg, berkata kerajaan Sarawak berhasrat memperluas asas ekonomi negeri dengan meneroka bidang berteknologi tinggi yang memerlukan lebih ramai tenaga pakar tempatan, termasuk dalam kalangan generasi muda Melayu.
“Anak Sarawak teruslah berusaha untuk mempunyai ilmu yang terkini kerana Kerajaan Sarawak berhasrat untuk memperkayakan ekonomi kita, bukan sahaja dari sudut ekonomi digital, tetapi juga ekonomi angkasa lepas.
“Saya harap anak Sarawak termasuk Melayu akan terus berusaha menjadi pakar dalam bidang ekonomi baharu dunia dan mengangkat negeri Sarawak sebagai negeri yang boleh bersaing,” katanya berucap pada Majlis Perasmian Wisma Melayu Sarawak yang disempurnakan Yang di-Pertua Negeri Sarawak, Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar, malam tadi.
Abang Johari berkata, sektor berkenaan perlu melalui proses pemodenan dengan memanfaatkan teknologi serta kepakaran generasi muda bagi meningkatkan produktiviti dan daya saing ekonomi masyarakat.PauseNextMute
Beliau berkata, pelaksanaan Skim Pendidikan Tinggi Percuma Sarawak (FTES) turut membuka ruang lebih luas kepada anak Sarawak melanjutkan pengajian tinggi dan merealisasikan potensi masing-masing tanpa mengira kaum.
Sementara itu, Abang Johari berharap Wisma Melayu Sarawak turut dimanfaatkan sebagai pusat pengembangan ilmu, penyelidikan dan mendokumentasikan warisan Melayu menerusi penggunaan teknologi kecerdasan buatan (AI).
Beliau berkata, usaha pendigitalan manuskrip lama, rakaman sejarah lisan dan pembangunan arkib digital perlu diperkasakan melalui kerjasama institusi pengajian tinggi, penyelidik serta penggiat seni bagi memastikan khazanah warisan terus terpelihara.

