AS tarik diri daripada Piala Dunia B-17

WASHINGTON: Persekutuan Bolasepak Amerika Syarikat (US Soccer) menarik diri daripada menyertai Piala Dunia Bawah 17 (B-17) lelaki Persekutuan Bolasepak Antarabangsa (FIFA) di Qatar atas faktor keselamatan, menurut badan itu kepada barisan pemain.

Dalam surat yang dihantar kepada pemain dan diperoleh REUTERS, US Soccer memaklumkan pihaknya membatalkan kem latihan serta penyertaan pasukan dalam pertandingan itu ‘berikutan keadaan semasa’.

Keputusan berkenaan dibuat susulan nasihat perjalanan Tahap 3 yang dikeluarkan Jabatan Negara Amerika Syarikat (AS) bagi Qatar, selain arahan berkaitan kepada kakitangan kedutaan dan ahli keluarga mereka.

“Kesejahteraan pemain dan kakitangan kami akan sentiasa menjadi keutamaan,” menurut surat itu.

US Soccer berkata pihaknya akan memaklumkan kelab yang diwakili pemain. Pemain turut diminta supaya tidak memberikan sebarang komen kepada umum sehingga FIFA mengumumkan keputusan berkenaan.PauseNextMute

FIFA belum memberikan maklum balas segera terhadap permintaan Reuters untuk mendapatkan komen.

Jabatan Negara AS mengemas kini nasihat perjalanan bagi Qatar bulan lalu dengan menggesa rakyatnya supaya mempertimbangkan semula perjalanan ke negara itu berikutan risiko konflik bersenjata.

Kemas kini itu turut merujuk kepada serangan Houthi ke atas Arab Saudi, termasuk serangan terhadap lapangan terbang awam dan infrastruktur kritikal.

Kejohanan membabitkan 48 pasukan itu dijadual berlangsung dari 19 November hingga 13 Disember. AS sepatutnya membuka kempen menentang Montenegro pada 21 November sebelum berdepan Chile dan Algeria dalam Kumpulan J.

AS mara ke pusingan 32 pasukan pada edisi tahun lalu yang turut berlangsung di Qatar. Negara itu dijadual menjadi tuan rumah kejohanan berkenaan setiap tahun sehingga 2029.