Mandat rakyat lebih berhak, kuasa bukan milik parti atau pemimpin

POLITIK Malaysia sedang memperlihatkan satu persoalan melangkaui pertelingkahan antara beberapa pemimpin sejauh mana sebuah kerajaan boleh berfungsi apabila parti membentuknya semakin kerap mencabar satu sama lain secara terbuka.

Kerajaan Perpaduan dibentuk selepas Pilihan Raya Umum Ke-15 (PRU15) bagi memastikan pentadbiran dan Parlimen mempunyai sokongan mencukupi. Namun, kestabilan yang lahir daripada kerjasama politik tidak semestinya menjamin kesepakatan dalam membuat keputusan.

Perbezaan pandangan antara Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, pemimpin UMNO dan DAP semakin terserlah. Anwar berhadapan tekanan daripada rakan dalam kerajaan sendiri, khususnya UMNO, berhubung hala tuju pentadbiran.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi menyatakan pembubaran Parlimen bagi mendapatkan mandat baharu lebih baik berbanding melakukan rombakan Kabinet susulan keputusan peletakan jawatan Anthony Loke sebagai Menteri Pengangkutan.

Namun, Loke membalas dengan mencabar wakil Barisan Nasional (BN) yang tidak bersetuju dengan kepimpinan Anwar supaya meninggalkan kerajaan.PauseNextMute

Apabila cabaran dibuat, setiap pihak turut bercakap kepada penyokong sendiri. UMNO perlu menunjukkan penyertaannya dalam kerajaan tidak bermakna parti itu kehilangan suara dan identiti.

DAP pula perlu membuktikan kerjasama dengan UMNO tidak memadamkan prinsip menjadi asas sokongannya. Anwar perlu mempertahankan kewibawaan sebagai ketua kerajaan, sambil memastikan rakan gabungan tidak menarik sokongan.

Di sinilah masalah utama bermula. Setiap parti mahu mengekalkan pengaruh, tetapi pada masa sama memerlukan pihak lain memastikan kerajaan terus bertahan. Mereka boleh saling mencabar, namun tindakan untuk keluar daripada kerajaan membawa risiko kehilangan jawatan, pengaruh dan peluang melaksanakan dasar.

Keadaan ini meletakkan Perdana Menteri dalam kedudukan sukar. Jika beliau terlalu bertolak ansur, ketegasan kepimpinannya mungkin dipersoalkan. Jika beliau mengambil tindakan keras terhadap parti yang mengkritik, kerajaan boleh berdepan kehilangan sokongan di Parlimen.

Pertelingkahan terbuka membawa kesan kepada pentadbiran. Apabila menteri atau parti lebih sibuk mempertahankan kedudukan masing-masing, tumpuan terhadap tugas kementerian boleh terjejas.

Arahan dan dasar mungkin dilihat melalui kepentingan parti, bukan keperluan negara. Kesan seterusnya ialah kemerosotan keyakinan rakyat.

Orang ramai mungkin tidak mengikuti setiap rundingan politik, tetapi mereka dapat melihat apabila pemimpin kerajaan saling menyindir, mencabar dan mengeluarkan kenyataan bercanggah.

Perebutan pengaruh lebih utama 

Lama-kelamaan, pertelingkahan itu boleh menimbulkan tanggapan perebutan pengaruh lebih utama daripada usaha menyelesaikan masalah rakyat.

Kontroversi berkaitan keputusan mahkamah berhubung bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, menjalani baki hukuman penjara di bawah tahanan rumah menjadi satu contoh bagaimana isu ini boleh menambah tekanan dalam kerajaan.

Loke mengaitkan peletakan jawatannya dengan keputusan itu, sedangkan DAP memilih untuk terus menyokong Anwar. Pada masa sama, kempen Pilihan Raya Negeri (PRN) Melaka memperlihatkan parti bekerjasama pada peringkat Persekutuan bersaing atau memilih rakan berbeza di peringkat negeri.

Kedua-dua perkembangan ini menggambarkan betapa mudah isu tertentu menguji persefahaman gabungan parti membentuk kerajaan.

Isu Najib tidak sepatutnya dijadikan alasan untuk mengheret pentadbiran ke dalam pertelingkahan berpanjangan. Begitu juga PRN Melaka. Persaingan pilihan raya ialah hak dalam demokrasi, tetapi ia tidak sepatutnya melumpuhkan tanggungjawab kerajaan Persekutuan. Perbezaan politik boleh diterima, tetapi kegagalan menjalankan amanah tidak boleh dinormalisasikan. Justeru, persoalan lebih penting bukan sekadar bagaimana pertelingkahan ini boleh dihentikan, tetapi bagaimana kerajaan dapat kembali berfungsi sebagai satu pasukan.

Langkah penyelesaian pertama ialah dengan menetapkan semula cara kerajaan bekerja. Pemimpin parti perlu bersetuju pertikaian dasar dibincangkan dalam Kabinet atau saluran rundingan dipersetujui sebelum dibawa ke pentas awam.

Keputusan bersama pula perlu dihormati semua anggota kerajaan. Jika sesuatu parti tidak lagi mampu menerima keputusan atau dasar utama kerajaan, parti itu perlu menjelaskan pendiriannya secara jujur dan membuat keputusan konsisten, bukan terus menikmati kedudukan kerajaan sambil menolak tanggungjawab bersama.

Langkah kedua ialah memastikan Anwar memimpin kerajaan dengan lebih jelas dan tegas. Beliau wajar menetapkan keutamaan kerajaan, memastikan semua kementerian bergerak sehala dan menjelaskan kepada rakyat bagaimana keputusan dibuat.

Pada masa sama, parti komponen perlu berhenti menggunakan ancaman keluar atau pembubaran Parlimen sebagai senjata rundingan setiap kali berlaku perselisihan. Soalnya, jika rundingan gagal dan kepercayaan antara rakan kerajaan tidak dapat dipulihkan, bagaimana kerajaan dapat bekerja dalam satu pasukan.

Dalam keadaan sedemikian, pembubaran Parlimen dan pilihan raya umum (PRU) boleh dipertimbangkan sebagai jalan mendapatkan mandat baharu. Ia satu pilihan politik yang sah, tetapi tidak semestinya menjadi penyelesaian mudah atau bebas risiko.

Pembubaran Parlimen bukan keputusan boleh dibuat sesuka hati. Perdana Menteri boleh menasihati Yang di-Pertuan Agong, tetapi Perlembagaan memberikan kepada baginda budi bicara untuk tidak memperkenankan permintaan pembubaran.

Pilihan raya tidak menjamin satu gabungan parti akan memperoleh majoriti kukuh kerana keputusan sama dan rumit seperti pada PRU15 mungkin berulang. Sebab itu, pembubaran Parlimen tidak seharusnya menjadi jalan keluar pertama setiap kali pemimpin berselisih. Namun, ia juga tidak wajar dianggap taboo jika kerajaan tidak lagi mampu berfungsi.

Jalan penyelesaiannya, serahkan kepada rakyat menentukan mandat baharu supaya negara tidak terus menanggung ketidakpastian akibat pertelingkahan tidak berkesudahan. Akhirnya, ukuran kejayaan kerajaan bukan berapa lama ia dapat bertahan atau berapa banyak jawatan dapat dikekalkan parti komponennya, tetapi sama ada kerajaan mampu mentadbir dengan berkesan, menyelesaikan masalah rakyat dan memikul tanggungjawab secara bersama.

Jika mahu terus bersama, buktikan melalui tindakan. Jika tidak lagi mampu bekerjasama, berterus terang kepada rakyat. Kuasa bukan milik kekal mana-mana parti atau pemimpin. Ia mandat rakyat dan mereka berhak menentukannya semula.

Penulis ialah Penganalisis politik merangkap Pensyarah Kanan, Fakulti Pengurusan dan Perniagaan, Universiti Teknologi MARA Perlis