WASHINGTON: Kumpulan penggodam yang disokong kerajaan Korea Utara mencuri lebih AS$400 juta (RM1.63 bilion) dalam mata wang kripto sepanjang 18 bulan lalu.
Biro Penyiasatan Persekutuan (FBI), berkata kegiatan itu dilakukan dengan memperdaya mangsa menggunakan rakaman video individu yang dirakam secara rahsia.
Dalam kegiatan yang dikenali sebagai ‘FaceStealer’ itu, penggodam menyamar sebagai kenalan mangsa sebelum mengajak mereka menyertai panggilan video menggunakan aplikasi palsu yang menyerupai Zoom, Microsoft Teams dan Google Meet.
“Mangsa menerima jemputan daripada kenalan sebenar yang pernah berhubung dengan mereka.
“Namun, akaun media sosial dan komunikasi kenalan berkenaan sudah digodam, manakala imej mereka dirakam secara rahsia.PlayNextMute
“Ketika panggilan video berlangsung, mangsa akan dimaklumkan kononnya berlaku masalah teknikal yang perlu diperbaiki dengan mengklik pautan tertentu.
“Bagaimanapun, pautan itu sebenarnya mengandungi perisian hasad yang boleh menjangkiti komputer serta mengambil alih akaun media sosial mangsa,” menurut FBI.
Penggodam kemudian menggunakan senarai kenalan mangsa untuk memperdaya lebih ramai individu dengan kaedah sama.
FBI berkata, pihaknya sudah mengenal pasti dan merampas lebih 900 rakaman video kamera web milik mangsa menerusi siasatan berkenaan.
Agensi itu turut mendedahkan penggodam mula menggunakan teknologi kecerdasan buatan (AI) untuk menghasilkan video palsu atau deepfake yang memaparkan individu terkenal dan berpengaruh dalam industri mata wang kripto serta rantaian blok.
FBI mengaitkan kegiatan itu dengan kumpulan penggodam Korea Utara dikenali sebagai Sapphire Sleet atau UNC1069.
Kumpulan berkenaan berbeza daripada kumpulan penggodam Korea Utara yang dikaitkan FBI dan industri swasta dengan serangan siber terhadap bursa mata wang kripto Binance baru-baru ini, yang mengakibatkan kerugian AS$6.3 bilion (RM25.67 bilion). – REUTERS

