CINCINNATI: Ketua jurulatih Amerika Syarikat (AS), Mauricio Pochettino berharap penggantinya mampu membina hubungan erat yang sama seperti dijalinkan beliau bersama pemain sepanjang mengendalikan pasukan itu.
Perlawanan terakhir Pochettino bersama skuad AS adalah menentang Haiti di Cincinnati, esok, dalam aksi timbal balik suku akhir Liga Negara-Negara CONCACAF.
Selepas itu, pengendali dari Argentina berkenaan akan berlepas ke England untuk mengambil alih tugas selaku pengurus kelab Liga Perdana Inggeris (EPL), Manchester United.
Skuad AS hadir ke perlawanan itu dengan reputasi cemerlang selepas membelasah Haiti 6-0 pada Sabtu lalu.
“Harapan saya adalah jurulatih baharu yang berada di sini mampu membina hubungan yang sama dengan pemain, sekali gus mewujudkan hubungan emosi yang membolehkan mereka mengeluarkan kemampuan terbaik daripada kumpulan pemain yang memiliki bakat luar biasa ini.
“Itulah harapan saya dan saya yakin ia akan berlaku kerana pemain sangat profesional, semuanya individu yang baik dan mereka pasti mampu membina hubungan yang baik dengan barisan kejurulatihan baharu,” kata Pochettino ketika ditanya mengenai jenis jurulatih dan hala tuju yang diharapkan buat skuad AS selepas pemergiannya.
Pochettino yang sebelum ini mengakui keputusan meninggalkan skuad AS adalah keputusan paling sukar pernah dibuat sepanjang kariernya, menegaskan tumpuan sepenuhnya ketika ini adalah mempersiapkan pasukan bagi menghadapi perlawanan esok.
Dalam perkembangan sama, beliau mengesahkan pembantu jurulatih yang sudah lama berkhidmat dengannya, Jesus Perez; jurulatih penjaga gol, Toni Jimenez serta jurulatih kecergasan, Sebastiano Pochettino sudah berlepas ke Manchester selepas perlawanan Sabtu lalu.
Bagaimanapun, pembantu jurulatih Miguel D’Agostino, jurulatih kecergasan Silvia Tuya Vinas dan penganalisis Alec Scott akan bersama Pochettino bagi perlawanan terakhirnya itu.
“Kami memberikan tumpuan untuk menamatkan tugas ini dengan cara terbaik, membolehkan pemain beraksi secara semula jadi dan membuat persiapan seperti biasa.
“Kami yakin dapat menamatkan tugas dengan baik sebelum bersedia untuk memulakan perbincangan mengenai kelab baharu saya. Namun, sekarang bukan masanya,” katanya.

