ADUN Merlimau Datuk Dr Muhammad Akmal Saleh mengangkat sumpah jawatan Pengerusi Jawatankuasa Negeri Sains, Teknologi, Inovasi dan Komunikasi Digital di hadapan Yang Dipertua Negeri Melaka hari ini. – Foto Bernama
MELAKA: Sepuluh Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) mengangkat sumpah sebagai Ahli Majlis Mesyuarat Kerajaan Negeri (Exco) Melaka hari ini, termasuk lima muka baharu.
Istiadat Angkat Sumpah Jawatan, Taat Setia serta Sumpah Simpan Rahsia yang berlangsung pada 2.45 petang itu diadakan di hadapan Yang Dipertua Negeri Melaka Tun Mohd Ali Rustam di Dewan Seri Utama, Pejabat Yang Dipertua Negeri Melaka, Seri Negeri, Ayer Keroh.
Hadir sama isteri Yang Dipertua Negeri Melaka Toh Puan Asmah Abd Rahman, Ketua Menteri Datuk Seri Dr Ab Rauf Yusoh dan isteri Datin Seri Zuriyah Ab Aziz.
Ab Rauf berkata muka baharu tersebut ialah Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Ayer Molek Datuk Mohd Ridhwan Mohd Ali yang memegang portfolio Pendidikan, Pengajian Tinggi dan TVET, ADUN Kelebang Datuk Lim Ban Hong (Kesihatan dan Modal Insan) dan ADUN Gadek S. Nadarajah (Belia, Sukan dan NGO).
“Selain itu, ADUN Rim Datuk Khaidhirah Abu Zahar (Wanita, Keluarga dan Masyarakat) dan ADUN Bukit Katil Muhammad Ridzuan Mohd Sarif (Pertanian, Alam Sekitar dan Pengurusan Bencana),” katanya selepas majlis istiadat tersebut di sini hari ini.
ASTRO AWANI
Selamanya Malaysia

