PM tak setuju caj rawatan klinik kerajaan dinaikkan

KUALA LUMPUR – Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim tidak bersetuju caj fasiliti kesihatan kerajaan dinaikkan daripada RM1 bagi rawatan pesakit luar am dan RM5 bagi rawatan di klinik pakar kepada RM10.

Tegasnya, beliau tidak mahu kenaikan caj berkenaan membebankan rakyat meskipun kadar baharu yang dicadangkan masih rendah.

“Kalau pegawai tinggi duduk wad kelas pertama hospital kerajaan tak mengapalah. Kalau orang miskin masih kena bayar, saya tak setuju.

“(Ini) kerana masih ada rakyat kita yang kurang berkemampuan kerana upah kita tidak setimpal, memang inflasi negara ini masih rendah namun saya tahu ada rakyat masih merungut (kos sara hidup tinggi),” katanya pada program ‘Dialog Negara’ yang disiarkan menerusi saluran TV1 dan aplikasi RTMKlik, malam ini.

Program itu turut disiarkan serentak di Bernama TV, Astro AWANI, TV3, TV AlHijrah dan TVS.

Dalam pada itu, Anwar turut menggesa doktor dan petugas kesihatan agar tidak terlalu memilih lokasi penempatan sehingga enggan berkhidmat di kawasan luar bandar dan pedalaman.

Beliau berkata kerajaan bersedia mempertimbangkan penyesuaian penempatan sekiranya munasabah namun keperluan rakyat di kawasan terpencil untuk mendapatkan perkhidmatan seperti dalam aspek kesihatan tetap perlu diutamakan.

“Tetapi bagaimana kalau kita fikir pilihan? Siapa yang nak memilih jadi doktor di Kapit, (Sarawak) di Gua Musang, di Ulu Kelantan?” katanya lagi.

Menurut Anwar, isu penempatan bagi penjawat awam bukan sahaja melibatkan para doktor tetapi sektor lain seperti pendidikan.

Beliau berkata penempatan penjawat awam di kawasan berkenaan penting bagi memastikan penyampaian perkhidmatan kerajaan kepada rakyat di pedalaman Sabah, Sarawak serta Semenanjung tidak terjejas. –MalaysiaGazette