KOTA BHARU: Usaha Polis Kelantan memerangi dadah di negeri ini secara habis-habisan mendapat sokongan pelbagai pihak, termasuk wakil rakyat.
Mereka mengakui, tidak timbul isu polis mahu menjatuhkan kerajaan negeri ini menerusi operasi pembanterasan dadah, sebaliknya penyalahgunaan dadah adalah fakta yang perlu diakui berikutan kedudukan Kelantan berdekatan sempadan.
Ahli Parlimen Pasir Mas, Ahmad Fadhli Shaari, berkata beliau menyokong penuh usaha polis itu bagi memastikan negeri ini bebas daripada najis dadah.
Malah, beliau meminta polis mempertingkatkan dan meneruskan usaha supaya najis dadah dapat dibersihkan daripada Kelantan.
“Saya ucapkan tahniah di atas ketegasan yang ditunjukkan Ketua Polis Kelantan (Datuk Mohd Yusoff Mamat). Semoga (beliau) dapat meneruskan momentum ini supaya suatu hari kita akan dapat melihat Kelantan bersih daripada najis dadah sepenuhnya.PlayNextMute
“Ramai yang gembira dengan tindakan dan menyokong penuh pihak polis untuk menangani najis dadah,” katanya ketika dihubungi di sini, semalam.
Ahmad Fadhli berkata, tindakan polis itu berikutan masalah (dadah) ada dan wujud di negeri itu.
“Tidak timbul isu polis nak jatuhkan Kelantan kerana apa yang dilaksanakan mereka sebab benda (masalah dadah) itu ada.
“Masalah dadah memang wujud dan kita kena akui faktor Kelantan berada berdekatan sempadan yang banyak memainkan peranan.
“Jadi kalau polis buat kerja ini dan mewar-warkan tindakan mereka, saya yakin sedikit sebanyak ia akan menggerunkan mereka yang terbabit dengan aktiviti ini. Saya sebagai wakil rakyat sokong sepenuhnya,” katanya.
Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Lama, Dr Hafidzah Mustakim, berkata pendedahan Polis Kelantan berhubung isu dadah serta kejayaan rampasan bahan terlarang itu perlu dilihat daripada sudut positif, bukannya memainkan sentimen kenegerian.
Beliau berkata, seluruh rakyat Kelantan sepatutnya berbangga dengan kejayaan yang diraih pasukan keselamatan itu.
“Kita sedar setiap kejayaan dan pendedahan ada yang mengaitkan polis mahu menjatuhkan imej negeri, sedangkan perkara itu tidak berlaku.
“Setiap apa yang didedahkan polis adalah hasil risikan yang dilakukan pihak mereka, bukannya bercakap kosong atau meraih populariti. Kita sepatutnya berbangga apabila tindakan tegas polis Kelantan membasmi dadah atau jihad dadah ini kerana banyak anak muda dapat diselamatkan,” katanya.
Pada masa sama beliau berkata, semua pihak perlu memainkan peranan dalam menangani masalah dadah dan tidak boleh meletakkan di bahu polis semata-mata.
“Polis buat kerja dia, manakala sebagai ibu bapa, kerajaan negeri atau pemimpin masyarakat pula, mereka juga perlu memainkan peranan masing-masing dalam mengekang masalah jenayah dadah,” katanya.
Katanya, walaupun ada pihak mengatakan bahawa Kelantan hanya menjadi transit, namun perlu sedar sebelum dadah sampai kepada orang luar, anak negeri ini terlebih dahulu yang rosak dan terkesan akibat dadah.
Gerak kerja terbaik
Ahli Parlimen Gua Musang, Mohd Azizi Abu Naim, pula menyifatkan tindakan agresif termasuk tangkapan yang banyak oleh polis Kelantan adalah satu gerak kerja yang terbaik kerana akan menggerunkan pengedar dan pembekal.
“Tangkapan pengedar dan pembekal ini akan mengurangkan jumlah pengguna kerana secara automatik mereka tidak dapat bekalan. Ia juga dapat memastikan anak muda atau belia tidak terjebak dengan dadah,” katanya.

