Kuala Lumpur: “Bawa bertenang, jangan burukkan keadaan, cukup-cukuplah,” nasihat Datuk Seri Mohd Shuhaily Mohd Zain kepada orang ramai berhubung isu kaum, agama, diraja (3R) yang hangat ketika ini.
Pengarah Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman itu berkata, pihaknya tidak mahu insiden rusuhan antara kaum seperti yang berlaku di Kampung Medan, (Petaling Jaya) kira-kira dua dekad lalu berulang kembali.
“Pihak kami bimbang sekiranya perkara sebenarnya tidak melibatkan isu perkauman, tapi libatkan dua (pihak) dari kaum berbeza akhirnya menjadi pemangkin isu ini (perkauman).
“Kami tak nak lihat lagi insiden Kampung Medan atau mana-mana rusuhan kaum berlaku kerana ia hanya memburukkan imej negara. Semua pihak perlu bertenang,” katanya pada sidang media di Bukit Aman, di sini, hari ini.
Menurutnya, individu yang didapati cuba untuk menimbulkan konflik antara kaum akan dibawa ke muka pengadilan dan orang ramai diminta tidak bertindak secara melulu.
Katanya, beberapa individu sudah didakwa berhubung isu 3R, semalam dan ia membuktikan keberkesanan sistem perundangan negara walaupun undang-undang pencegahan seperti Akta Keselamatan Dalam Negara (ISA) sudah dimansuhkan.
“Biar sistem keadilan membuat kerjanya, itu menunjukkan kematangan rakyat dalam menangani masalah-masalah sensitif dalam negara.
“Kalau dulu kita ada undang-undang pencegahan dan ia telah dimansuhkan kerana dikatakan kematangan masyarakat dalam membincangkan isu sensitif,” katanya.
Menurutnya, orang ramai perlu memahami skop tugas pihak polis yang menjalankan tugas berlandaskan undang-undang dan bidang kuasa yang ditetapkan.
Katanya, walaupun undang-undang pencegahan sudah dimansuhkan, namun pihaknya akan menggunakan bidang kuasa mereka sebaiknya dalam menangani isu perkauman.
“Amaran saya sama, saya dah cakap tempoh hari (orang ramai) jangan ambil tindakan sendiri kerana akan memudaratkan diri sendiri.
“Ingat, setiap jenayah (dilakukan) akan didakwa di kemudian hari dan sekiranya dijatuhi hukuman rekod itu akan kekal sepanjang hayat. Nanti nak cari kerja pun terjejas,” katanya.
Menurutnya, sebagai orang Melayu beragama Islam, beliau memahami isu-isu membabitkan agama dan institusi diraja amat sensitif namun merayu orang ramai supaya bersabar di bulan mulia Ramadan ini.
“Sabarlah, kami akan selesaikan banyak lagi masalah. Ada yang cuba bangkitkan semula isu lama dalam konteks 3R, janganlah simbah minyak ke dalam api, habis terbakar rumah nanti.
“Saya merayu semua pihak tanpa mengira bangsa dan agama ‘stand down’ buat masa ini,” katanya.