PARIS: Pemotongan besar-besaran terhadap bantuan asing yang diketuai oleh Amerika Syarikat (AS) dijangka menyebabkan dana kesihatan antarabangsa merosot ke paras terendah dalam tempoh 15 tahun, menurut satu kajian yang memberi amaran dunia kini memasuki era baharu penjimatan kesihatan global.
Wang yang digunakan untuk membiayai rawatan kesihatan bagi golongan termiskin dan paling memerlukan di seluruh dunia dipotong secara mendadak tahun ini, dengan pentadbiran Presiden AS, Donald Trump, menjadi peneraju utama langkah itu.
Kajian terbaharu yang diterbitkan dalam jurnal perubatan terkemuka The Lancet turut menyatakan bahawa United Kingdom, Perancis dan Jerman juga mengumumkan pemotongan bantuan secara mendadak.
Menurut anggaran pasukan penyelidik yang diketuai AS itu, selepas mencapai paras tertinggi sepanjang masa iaitu AS$80 bilion (RM340.42 bilion) pada tahun 2021 ketika pandemik COVID-19, jumlah keseluruhan bantuan kesihatan global dijangka jatuh kepada hanya AS$39 bilion (RM165.98 bilion) tahun ini.
“Perubahan mendadak ini menandakan dunia sedang memasuki satu era baharu penjimatan kesihatan global.
“Negara-negara di Sub-Sahara Afrika seperti Somalia, Republik Demokratik Congo yang dilanda konflik, serta Malawi dijangka paling terjejas kerana sebahagian besar pembiayaan sistem kesihatan mereka bergantung kepada bantuan antarabangsa,” menurut penulis kajian.
Kajian turut menyatakan pemotongan dana ini akan memberi kesan besar terhadap rawatan dan pencegahan pelbagai penyakit berjangkit termasuk HIV, AIDS, malaria dan tuberkulosis.
AS mengurangkan bantuan kesihatan globalnya sekurang-kurangnya sebanyak 67 peratus bagi tahun 2025 berbanding tahun sebelumnya, manakala UK mengurangkan hampir 40 peratus, diikuti Perancis sebanyak 33 peratus dan Jerman sebanyak 12 peratus.
Sementara penyelidik dari Institut Penilaian Metrik dan Kesihatan (IHME) yang berpangkalan di AS menggesa dunia segera meningkatkan semula bantuan kesihatan.
Mereka turut memberi amaran bahawa negara-negara penerima perlu mencari sumber pembiayaan alternatif untuk menampung keperluan kesihatan mereka.
Satu lagi kajian berasingan yang turut diterbitkan dalam The Lancet awal bulan ini menganggarkan bahawa pemotongan bantuan asing oleh AS saja boleh mengakibatkan lebih 14 juta kematian yang boleh dielakkan menjelang tahun 2030.
Sebagai perbandingan, sekitar 10 juta askar terbunuh semasa Perang Dunia Pertama.

