KUALA LUMPUR: Ahli Parlimen Titiwangsa, Datuk Seri Johari Abdul Ghani meminta Dewan Bandaraya Kuala Lumpur (DBKL) meneliti semula rancangan merobohkan sembilan gerai penjaja di Desa Pandan bagi memberi laluan kepada kerja pelebaran jalan.
Beliau berkata demikian kerana jalan yang terbabit adalah jalan dalam dan para peniaga tersebut telah menjalankan perniagaan secara sah di kawasan itu selama bertahun-tahun.
“Mereka ini sudah berniaga di sini bertahun-tahun, dan mereka diberi lesen. Ini adalah punca pendapatan mereka. Apabila pihak DBKL tiba-tiba datang merobohkan gerai tempoh hari, mereka amat terkejut,” katanya.
Beliau yang juga Menteri Perladangan dan Komoditi berkata keputusan DBKL itu juga dibuat tanpa melalui sesi libat urus bersama beliau dan kumpulan peniaga yang bakal terjejas akibat perobohan terbabit.
Johari yang menjalankan tugas dan fungsi Menteri Sumber Asli dan Kelestarian Alam turut mempersoal kewajaran pelaksanaan projek yang dikatakan untuk memberi laluan kepada kenderaan berat, termasuk treler.
“Difahamkan, DBKL sudah lantik kontraktor projek ini, sebelum buat libat urus dengan wakil rakyat dan penduduk. Tak logik kalau hanya besarkan jalan di sini, kemudian kurang 100 meter di hadapan akan kembali kecil.
“Kenapa perlu robohkan gerai untuk projek pelebaran jalan sedangkan ini bukan laluan utama? Kalau DBKL robohkan sembilan gerai di sini, bagaimana pula nasib 60 peniaga yang beroperasi dekat gerai di hadapan sana?

Syor tutup jalan terbabit pelebaran
“Saya sebenarnya mahu cadangkan supaya laluan ini ditutup kerana ia hanyalah jejambat merentasi saluran perparitan, selain banyak kali treler tersangkut ketika melalui jalan terbabit.
“Saya rasa pelaksanaan projek ini perlu ditangguhkan, selain bersedia berbincang dengan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan), Datuk Seri Dr Zaliha Mustafa,” katanya pada sidang media, hari ini.
DBKL semalam, dilapor berkata proses pengosongan tapak perniagaan itu dilakukan secara telus dan teratur mengikut prosedur sedia ada, selain sudah melalui beberapa proses termasuk sesi libat urus dan penyampaian maklumat rasmi kepada semua pihak terbabit, termasuk persatuan peniaga dan peniaga.
Ia susulan rakaman video berdurasi 50 saat tular di media sosial, memaparkan seorang lelaki memegang parang mengamuk dan memaki hamun penguat kuasa DBKL sambil ditenangkan orang ramai yang berada di lokasi.
Susulan itu, Ketua Polis Daerah Wangsa Maju, Asisten Komisioner Mohamad Lazim Ismail, dilaporkan berkata pihaknya menahan seorang lelaki bersama sebilah parang panjang milik suspek di kawasan kejadian dan kes disiasat mengikut Seksyen 353 Kanun Keseksaan.
Lesen perniagaan ditamatkan DBKL April lalu
Sementara itu, wakil peniaga, Mohd Reduan Mohd Rathi, 40, berkata sembilan peniaga terbabit menjalankan perniagaan secara sah bagaimanapun lesen mereka ditamatkan tanpa alasan sah dikemukakan DBKL, pada April lalu.
Dia turut mempersoalkan kewajaran pelaksanaan projek pelebaran jalan terbabit, selain mendakwa kawasan berkenaan kerap berlaku kemalangan.
“Jika jalan ini dilebarkan, bagaimana keselamatan penduduk di sini, terutama kanak-kanak yang berjalan untuk ke sekolah? Adakah jalan raya baharu akan berada betul-betul di hadapan pintu rumah kami nanti?
“Pada hari DBKL cuba robohkan gerai kami, ada kemalangan maut membabitkan pikap melanggar pejalan kaki. Malah, banyak kemalangan berlaku di sini,” katanya.

