TAIPING: Jika di Cameron Highlands pengunjung dapat menikmati buah strawberi segar sejurus dipetik di kawasan ladangnya, ladang buah tin, Figtopia di Changkat Jering, di sini pula menawarkan pengalaman sama apabila pengunjung dapat memetik dan terus menikmatinya.
Itu kelainan ditawarkan di ladang tanaman buah tin berkeluasan 1.4 hektar itu, sekali gus terbesar di Perak.
Ia membabitkan lebih 1,000 pokok dengan kira-kira 60 jenis pokok tin dan menerapkan konsep agropelancongan sejak dibuka pada penghujung 2020.
Selain pengalaman memetik di ladang, pengunjung berpeluang menikmati produk hiliran berasaskan buah itu antaranya jem, jus, ais krim, krep dan biskut yang juga boleh dibeli terus dari ladang berkenaan.
Pengurus dan juga pemilik ladang, Mohd Yusof Nor Badarudin, 38, berkata permintaan terhadap buah yang lazim didapati di negara empat musim itu kian meningkat, berikutan pasaran tempatan tidak dapat memenuhi permintaan tinggi disebabkan penanaman itu masih baharu di Malaysia.
Yusof berkata, ladang tin diusahakan itu mampu menghasilkan buah secara bersambungan dengan pengeluaran setiap hari sehingga 80 kilogram (kg).
Semua itu berbekalkan pengalamannya dalam penyelidikan dan pembangunan (R&D) serta uji kaji kendiri yang dijalankan lapan tahun sebelumnya.
Katanya, pada awal mengusahakan tanaman tin, dia terpaksa menggunakan modal sendiri kerana ia kurang mendapat sokongan agensi kerajaan.
Katanya, keadaan itu menyebabkan sejak lapan tahun lalu dia banyak berhabis wang sendiri bagi menjalankan R&D kendiri.
Ia untuk memastikan jenis pokok tin yang mana sesuai tumbuh di Malaysia, memandangkan terdapat kira-kira 2,000 jenis pokok tin di seluruh dunia.
“Di Malaysia penanaman pokok tin bermula sekitar 10 hingga 11 tahun lalu dan tidak semua jenis sesuai ditanam di negara ini.
“Jadi, saya kena cuba serta uji sendiri dan berhabis banyak wang untuk membuat R&D bagi mengetahui mana yang sesuai.
“Ketika itu, pokok tin mencecah antara RM1,500 hingga RM5,000 sepokok, belum masuk kalau beli kemudian mati.
“Walaupun tanpa bantuan kewangan daripada agensi kerajaan, ladang saya usahakan ini diiktiraf dengan skim pensijilan Amalan Pertanian Baik atau myGAP dari Jabatan Pertanian bagi subsektor tanaman,” katanya kepada BH.
Mohd Yusof yang memiliki Sarjana Muda Ekonomi Islam dan Antarabangsa dari Universiti Islam Antarabangsa Malaysia, berkata permintaan tinggi terhadap buah tin menyebabkan dia mengambil keputusan tidak lagi mengeluarkan hasil untuk dijual kepada selain dari kawasan Figtopia.
Beliau yang mengusahakan ladang itu bersama rakan kongsi, Hawari Walik, 36, berkata ia bagi memberi keutamaan kepada pengunjung yang datang membeli atau merasai hasil dan produk hiliran keluaran di Figtopia, sekali gus berupaya menyemarakkan aktiviti ekopelancongan di sekitar kawasan Taiping.
“Menjadi hasrat kami untuk mendekati mana-mana pihak termasuk kerajaan bagi mencari peluang baharu bagi membesarkan potensi pasaran buah tin ini, berikutan ia memerlukan kawasan serta kos besar kerana konsep penanamannya secara ‘rumah hijau’,” katanya.
Menerusi pelan pembangunan negeri Perak Sejahtera 2030 cetusan Menteri Besar Perak, Datuk Seri Saarani Mohamad, Hab Agropelancongan diletakkan sebagai antara agenda di bawah intipati (flagship) Lembah Bakul Makanan Malaysia (Sekuriti Makanan), selain pelan sama turut menyenaraikan ‘flagship’ Ekonomi Pengalaman.