KUALA LUMPUR: Perancis dan Jerman memuji usaha Malaysia khususnya Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim menjadi perantara bagi menyelesaikan konflik antara Thailand dan Kemboja.
Kejayaan ini sekali gus memperkukuh kepercayaan antarabangsa terhadap ASEAN sebagai platform utama diplomasi serantau.
Dalam perbualan telefon bersama Anwar semalam, Canselor Jerman, Friedrich Merz, menyampaikan penghargaan atas usaha diplomatik yang ditunjukkan Malaysia.
Menurut jurucakap kerajaan Jerman dalam kenyataan, Stefan Kornelius, Merz menekankan pentingnya usaha berterusan bagi meredakan ketegangan dan melihat Malaysia sebagai rakan strategik utama di Asia Tenggara.
“Sebagai Pengerusi ASEAN ketika ini, Malaysia memainkan peranan penting dalam kestabilan serantau dan Jerman berhasrat untuk memperkukuh hubungan ekonomi dan politik dengan Malaysia,” katanya.
Sementara itu, Kerajaan Perancis turut menyambut baik pengumuman gencatan senjata yang dicapai hasil mediasi Malaysia, selepas pertemuan penting antara Perdana Menteri Kemboja dan Thailand di Putrajaya, semalam.
Kementerian Luar Perancis dalam kenyataan menyatakan penghargaan terhadap kepimpinan Anwar selaku Pengerusi ASEAN, selain menggesa pelaksanaan gencatan senjata secara berkesan.
“Perancis mengulangi komitmennya terhadap prinsip sentraliti ASEAN dan bersedia menyokong inisiatif yang diterajui demi penyelesaian jangka panjang berdasarkan undang-undang antarabangsa.
“Kemajuan penting ini mesti dijadikan asas kepada penyelesaian jangka panjang melalui cara aman selaras dengan undang-undang antarabangsa,” katanya.
Semalam, Thailand dan Kemboja mencapai kata sepakat melaksanakan gencatan senjata serta-merta tanpa syarat sebagai langkah penting ke arah meredakan ketegangan dan mengembalikan keamanan di kawasan sempadan.
Persetujuan itu dicapai dalam mesyuarat khas antara Perdana Menteri Kemboja, Hun Manet, dan Pemangku Perdana Menteri Thailand, Phumtham Wechayachai, dengan Anwar bertindak sebagai hos, Pengerusi ASEAN dan saksi kepada perbincangan bersejarah itu.

