KUALA LUMPUR: Hutang isi rumah negara berjumlah RM1.65 trilion atau bersamaan 84.3 peratus daripada Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) setakat akhir Mac 2025.
Perkara itu dimaklumkan Timbalan Menteri Kewangan, Lim Hui Ying, namun nilai aset kewangan isi rumah melebihi jumlah hutang, sekali gus menandakan kedudukan kewangan rakyat secara keseluruhannya masih kukuh.
“Hutang isi rumah harus dilihat bersama dengan aset kewangan isi rumah yang jauh lebih besar.
“Secara agregat, aset kewangan isi rumah kekal melebihi hutang sebanyak 2.1 kali, sekali gus memberikan penampan yang teguh kepada isi rumah,” katanya ketika sesi pertanyaan lisan di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata demikian menjawab soalan tambahan Datuk Awang Hashim (PN-Pendang) mengenai nisbah tertinggi kadar hutang kepada KDNK.PlayNextMute
Menjawab soalan Datuk Ngeh Koo Ham (PH-Beruas), Hui Ying berkata kerajaan akan mengoptimum perbelanjaan awam menerusi pelaksanaan rasionalisasi subsidi dan badan berkanun, selain semakan semula perbelanjaan kerajaan secara menyeluruh sebagai antara langkah kawalan dalam usaha menangani peningkatan paras hutang dan liabiliti.
Langkah lain diambil, katanya meneruskan konsolidasi fiskal secara beransur-ansur di samping memperluas asas hasil dan memastikan kutipan hasil yang mampan.
“Pinjaman kerajaan hanya untuk membiayai projek dan program di bawah perbelanjaan pembangunan (DE) yang memberi pulangan kepada negara dan rakyat dalam tempoh jangka masa panjang.
“Selain itu, menetapkan had pendedahan jaminan kewangan kepada 25 peratus daripada KDNK (Keluaran Dalam Negara Kasar) melalui Akta 850 supaya pendedahan kerajaan kepada jaminan kewangan sentiasa terkawal berdasarkan keupayaan kewangan dan ekonomi semasa,” katanya.
Mengulas lanjut, katanya kerajaan juga mengutamakan projek berorientasikan ‘user-pay’ melalui Pelan Induk Kerjasama Awam-Swasta 2030 (PIKAS 2030) bagi mengurangkan beban kewangan ditanggung.
“(Langkah lain diambil) menyemak semula kaedah pelaksanaan projek secara ‘off- budget’ dan hanya mempertimbang pelaksanaan projek pembangunan di bawah skop dan siling Rancangan Malaysia Lima Tahun,” katanya.
Sementara itu, beliau menegaskan inisiatif strategik kerajaan seperti Pelan Hala Tuju Peralihan Tenaga Negara (NETR), Pelan Induk Perindustrian Baharu 2030 (NIMP 2030), Program Pengaktifan dan Pembaharuan Badan Berkaitan Kerajaan (GEAR-uP) serta penambahbaikan dasar seperti pelarasan gaji minimum dijangka merangsang aktiviti ekonomi, mengukuhkan hasil Kerajaan dan mengurangkan pergantungan kepada pinjaman.
“Kerajaan turut komited melaksanakan reformasi institusi yang menyokong agenda pembangunan negara melalui penggubalan Rang Undang-Undang (RUU) Perolehan Kerajaan.
“Ini untuk menambah baik proses dan tadbir urus perolehan kerajaan serta penggubalan akta berkaitan Syarikat Milik Kerajaan (SOE) untuk memperkukuh tadbir urus korporat, meningkatkan akauntabiliti dan mengoptimumkan prestasi SOE,” katanya.

