KUALA LUMPUR: Polis secara keseluruhan menahan 16 individu berhubung siasatan kes penemuan enam pucuk pistol terhadap seorang lelaki warga Israel, yang ditahan di sebuah hotel di Jalan Ampang, di sini, pada 27 Mac lalu.
Terbaru, polis menahan 12 individu selepas menjalankan siasatan terhadap suspek utama Shalom Avitan, 38; pasangan suami isteri warga tempatan berusia 42 dan 40 tahun yang menjual pistol kepada Shalom dan seorang lelaki tempatan yang berperanan sebagai pemandu Shalom.
Ketua Polis Negara, Tan Sri Razarudin Husain, berkata tiga daripada 12 individu yang ditahan membabitkan dua lelaki warga Turki dan seorang lelaki warga Georgia.
“Kesemua mereka ditahan dalam serbuan oleh pasukan khas membabitkan kerjasama dari Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Bukit Aman, JSJ Kontinjen Kuala Lumpur dan Cawangan Khas (SB).
“Mereka ditahan dalam serbuan ke atas beberapa premis di sekitar Johor dan ibu negara berdasarkan risikan, siasatan dan maklumat yang diterima daripada orang awam.
“Malah, ada tangkapan diperoleh dengan kerjasama hasil siasatan yang dijalankan oleh Jabatan Siasatan Jenayah Komersial (JSJK) berhubung aktiviti pembayaran wang kripto,” katanya kepada BH hari ini.
Setakat ini, tangkapan hasil siasatan oleh JSJK itu dipercayai diperoleh berdasarkan penjejakan pembayaran senjata api di antara suspek dan pasangan suami isteri tempatan yang membayar menggunakan matawang ktipto.
Razarudin berkata, pasangan suami isteri yang ditahan kerana mengedar enam senjata api kepada Shalom disambung reman tujuh hari bermula hari ini.
“Sejurus penahanan Shalom dan tiga lagi suspek warga tempatan, polis kemudian menahan empat lelaki dan dua wanita berusia antara 25 hingga 41 tahun.
“Susulan daripada siasatan yang dijalankan pasukan polis kemudian menahan enam lagi individu membabitkan dua warga Turki berusia 29 dan 40 tahun, seorang lelaki warga Georgia berusia 39 tahun dan tiga warga tempatan berusia antara 32 hingga 60 tahun,” katanya.
Katanya, sebahagian mereka ditahan reman bermula semalam manakala sebahagian lagi ditahan reman bermula hari ini.
Kesemua mereka dibenarkan ditahan reman tujuh hari.
Razarudin berkata, pada masa ini PDRM juga masih melengkapkan siasatan bagi mengetahui motif sebenar suspek utama iaitu Shalom, memiliki enam pucuk pistol.
Selasa lalu, Razarudin pada sidang media khas menyatakan bahawa siasatan terhadap Shalom dibuat terhadap semua sudut dan kemungkinan yang ada termasuk bermotifkan ancaman terhadap Ketua Negara iaitu Yang di-Pertuan Agong, Perdana Menteri, orang kenamaan dan diplomat asing, pemimpin-pemimpin Hamas (Palestin) yang ada di negara ini serta keselamatan rakyat negara ini sendiri.