Endo pernah gagal sertai Yokohama

TOKYO: Wataru Endo berkata dia tidak dapat menyertai Yokohama F. Marinos selepas menjalani ujian bersama kelab Liga-J itu beberapa tahun lalu, ketika pemain tengah Jepun itu kembali ke kelab kampung halamannya malam tadi sebagai pemain Liverpool.

Ia merupakan kali pertama Endo menyarung jersi Liverpool di negaranya sendiri apabila juara Liga Perdana Inggeris (EPL) itu menewaskan Yokohama 3-1 pada aksi persahabatan pramusim.

“Saya sebenarnya menyokong kelab ini dan saya pernah hadir ke ujian pemilihan, tetapi saya tidak dapat sertai kelab ini. Sekarang saya kembali ke sini sebagai pemain Liverpool. Ia satu saat impian yang menjadi kenyataan,” kata pemain berusia 32 tahun itu kepada laman sesawang rasmi Liverpool.

“Ia merupakan detik yang menakjubkan bagi saya kerana saya kembali ke Jepun sebagai pemain Liverpool. Bagi saya, ia amat bermakna.”

Endo membuat penampilan sulung profesionalnya bersama Shonan Bellmare, kelab yang berpangkalan di Hiratsuka, lebih 30 kilometer dari Yokohama.

Wataru Endo menerima anugerah selepas perlawanan menentang Yokohama F. Marinos. – Foto REUTERS
Wataru Endo menerima anugerah selepas perlawanan menentang Yokohama F. Marinos. – Foto REUTERS

Dia pernah bermain untuk kelab Bundesliga, VfB Stuttgart sebelum menyertai Liverpool pada tahun 2023.

Virgil van Dijk menyerahkan lilitan kapten kepada Endo apabila pemain Jepun itu menggantikannya pada separuh masa kedua.

“Saya rasa ia satu penghormatan yang amat besar. Saya rasa semua rakyat Jepun mungkin mahu saya jadi kapten,” jelas Endo.

Liverpool akan memulakan kempen mempertahankan kejuaraan EPL mereka dengan perlawanan di gelanggang sendiri menentang Bournemouth pada 15 Ogos. – REUTERS