KUALA LUMPUR: Kerajaan akan meningkatkan daya saing syarikat Bumiputera di peringkat antarabangsa, dengan tumpuan diberikan dalam mempersiapkan entiti terbabit untuk disenarai di Bursa Malaysia.
Perkara itu diumumkan Perdana Menteri, Datuk Seri Anwar Ibrahim, ketika membentangkan Rancangan Malaysia Ke-13 (RMK13) di Dewan Rakyat, hari ini.
Beliau berkata, syarikat berkaitan kerajaan (GLC) juga akan memudah cara sokongan institusi kepada usahawan Bumiputera dengan sasaran melahirkan 10 jaguh Bumiputera dalam rantaian bekalan.
Katanya, melalui pendekatan itu, ia membawa hasrat untuk memajukan setiap syarikat terbabit sehingga bernilai lebih RM500 juta.
“Bagi meningkatkan daya saing itu, antara strategi akan dilaksanakan adalah perlumbaan ‘relay’, bertujuan mengupaya dan meramaikan usahawan Bumiputera seawal peringkat syarikat mula niaga hinggalah muncul sebagai syarikat tersenarai.
“Selain itu, program Gate to Global (GTG) akan terus dipergiat bagi mengangkat daya saing usahawan Bumiputera di pasaran antarabangsa melalui pembangunan kapasiti dan produk, fasilitasi padanan eksport dan pemasaran digital,” katanya.
Perdana Menteri berkata, Pelan Tindakan Ekonomi Bumiputera 2035 (PuTERA35) adalah tunjang kepada agenda pemerkasaan Bumiputera.
Katanya, tumpuan akan digerakkan ke arah strategi 3P, iaitu penyertaan yang meluas, pemilikan yang bermakna dan penguasaan dalam sektor strategik.
“Pembangunan Bandar Malaysia dan kawasan sekitar Lapangan Terbang Subang adalah dua projek yang strategik membabitkan penyertaan Bumiputera yang signifikan.
“Dalam hal ini, selain institusi seperti Majlis Amanah Rakyat (MARA), Unit Peneraju Agenda Bumiputera (TERAJU), Universiti Teknologi MARA (UiTM) dan Permodalan Nasional Bhd (PNB), penyertaan GLC dan syarikat swasta juga akan digembleng supaya lebih ramai pemilik perniagaan dalam kalangan profesional Bumiputera dilahirkan,” katanya.
Perdana Menteri berkata, pembangunan sosioekonomi Anak Negeri Sabah dan Bumiputera Sarawak juga akan diperkukuhkan dengan meluaskan peluang perniagaan melalui penyediaan premis komersial dan akses kepada bantuan pembiayaan serta program latihan serta bimbingan keusahawanan.

