KUALA LUMPUR – Polis mengesahkan menerima maklumat mengenai kejadian cubaan ragut hingga mengakibatkan kematian suspek, seorang lelaki dalam kejadian di kawasan Taman Perumahan berhampiran Batu 9, Cheras, pada 22 Julai lalu.
Ketua Polis Daerah Kajang, Asisten Komisioner Naazron Abdul Yusof berkata, suspek telah dipukul oleh orang awam selepas gagal meragut mangsa yang merupakan seorang guru Tadika Kemas berusia 36 tahun.
“Bedah siasat terhadap mayat suspek telah dilakukan pada hari yang sama dan punca kematian adalah “Pending Laboratory Analysis” oleh pakar patologi.
“Sehingga kini, keputusan penuh bedah siasat masih menunggu laporan lanjut daripada Jabatan Kimia,” katanya dalam kenyataan hari ini.
Berikutan kejadian itu beliau berkata, polis telah menahan lapan lelaki tempatan berumur antara 22 hingga 72 tahun yang dipercayai terlibat dalam kejadian tersebut.
Kesemua individu itu ditahan reman sehingga esok.
Tambahnya, kes berkenaan telah dirujuk ke pejabat Timbalan Pendakwaraya semalam yang mana keputusan dibuat untuk membebaskan semua yang ditahan dengan jaminan polis sementara menunggu laporan penuh bedah siasat dan analisis daripada Jabatan Kimia.
Naazron berkata, siasatan lanjut dijalankan di bawah Seksyen 302 Kanun Keseksaan yang membawa hukuman mati atau penjara tidak kurang 30 tahun dan tidak melebihi 40 tahun.
“Jika tidak dikenakan hukuman mati, mereka yang disabit kesalahan akan dijatuhi hukuman sebatan tidak kurang 12 kali,” ujarnya.
Beliau menggesa orang ramai yang mempunyai sebarang maklumat atau yang mengenali suspek untuk menghubungi Pegawai Penyiasat, ASP Ong Eng Yew di talian 012-6966849 atau mana-mana balai polis berdekatan bagi membantu siasatan. – MalaysiaGazette

