ROME: Pemain bola sepak dalam saingan Serie A Itali akan berdepan pemotongan gaji sebanyak 25 peratus secara automatik sekiranya pasukan mereka tersingkir ke Serie B, menurut perjanjian baharu antara Persatuan Pemain Bolasepak Itali (AIC) dan pengendali Serie A.
Perjanjian kolektif lima tahun itu diumumkan semalam.
Langkah itu bertujuan mengurangkan beban kewangan yang ditanggung kelab selepas tersingkir dan akan terpakai kepada semua kontrak yang ditandatangani selepas 2 September 2025, iaitu selepas jendela perpindahan musim panas ditutup.
Sistem baharu ini akan mengurangkan gaji pemain secara automatik, kecuali jika dinyatakan sebaliknya dalam kontrak individu pemain.
Kontrak sedia ada tidak akan terjejas dan kekal tertakluk kepada syarat asal yang sudah dipersetujui.
Sekiranya pasukan yang tersingkir itu kembali ke Serie A, gaji pemain yang terbabit akan dikembalikan kepada nilai asal.
Perjanjian itu turut memperkenalkan struktur gaji minimum mengikut usia pemain, yang tidak boleh dikurangkan walaupun selepas pasukan tersingkir ke liga bawahan. – REUTERS

