KUALA LUMPUR: Motosikal ditunggang dua individu disyaki menyerang anak lelaki bekas Menteri Ekonomi, Datuk Seri Rafizi Ramli, di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya semalam, didapati menggunakan nombor pendaftaran palsu.
Ketua Polis Selangor, Datuk Shazeli Kahar, berkata pihaknya mengesan dua individu bermotosikal dipercayai terbabit dalam kejadian berkenaan.
“Kita sudah mengenal pasti motosikal terbabit namun pemeriksaan mendapati nombor pendaftaran digunakan adalah palsu.
“Penyerang dikesan dua orang tetapi identiti suspek belum dikenal pasti,” katanya ketika dihubungi, hari ini.
Beliau berkata, polis belum mengenal pasti cecair yang didakwa digunakan dalam jarum suntikan ketika kejadian.
Semalam, polis mengesahkan berlaku serangan terhadap anak Rafizi yang juga Ahli Parlimen Pandan, di sebuah pusat beli-belah di Putrajaya pada 2 petang.
Bagaimanapun, anak Rafizi yang berusia 12 tahun dilaporkan tidak mengalami kecederaan fizikal.
Shazeli dilaporkan berkata, serangan dilakukan berlaku di tempat menurun dan mengambil penumpang pusat beli-belah berkenaan.
Rafizi semalam memaklumkan, anak dan isterinya baru memasuki kereta untuk beredar dari lokasi kejadian sebelum anaknya tiba-tiba ditarik serta dicucuk dengan jarum suntikan.
Semakan awal mendapati, dua lelaki menaiki motosikal mengekori kereta isterinya yang mana kedua-dua suspek berpakaian serba hitam dan bertopi keledar penuh menutup muka, dipercayai menunggu sebelum menyerang.

